
Masyitah, ada soalan?
Ya, Masyitah.Boleh saya bantu?
Apa khabar,Masyitah?
Kamu faham apa yang saya terangkan tadi, Masyitah?
Masyitah,Masyitah dan Masyitah.
Sebenarnya itulah nama yang dipanggil oleh pensyarah saya sejak semester dua hinggalah ke hari ini kepada saya. Sedangkan, saya bukanlah Masyitah! Mashitah merupakan nama sahabat saya sebenarnya.
Biasanya semasa kuliyah, pensyarah saya akan menyebut nama Masyitah lalu anak matanya terus jatuh ke arah saya. Situasi ini membuatkan hati saya sedikit sakit dan gementar sebenarnya.
Masyitah. Satu nama yang indah dan hebat. Bukan senang hendak membawa nama yang hebat ini. Umumnya, sahabat-sahabat tentu ingat akan keimanan Masyitah.
Sejarah telah memuntahkan segala fakta tentang Masyitah. Seorang penyisir rambut anak Firaun. Sejarah juga mecatatkan, sedang dia menyisir-nyisirkan rambut anak Firaun, sikat yang berada di tangannya telah terjatuh lalu Masyitah telah menyebut nama Allah swt.
Apabila anak Firaun mendengar nama Allah swt.lalu bertanya siapakah itu.
Masyitah menjawab, “Tuhanku dan tuhan bapamu ialah Allah." Mendengar kata-kata itu, anak Firaun menjadi marah. "Baik kamu bertaubat, kalau tidak aku akan beritahu bapaku." Masyitah bertegas dan mengatakan, "Pergilah kau beritahu bapamu. Aku tetap dengan pendirianku bahawa tuhan yang sebenarnya ialah Allah."
Masyitah telah diugut mati dibunuh oleh Firaun tetapi dengan iman yang kuat Masyitah tetap tidak berubah akan pendiriannya. Akhirnya, seluruh ahli keluarganya mati kerana telah dicampakan oleh Firaun ke dalam sebuah kawah minyak yang amat panas.
Dalam peristiwa Israk Mikraj pula, Nabi Muhammad saw sampai di satu tempat yang sangat harum baunya. Malaikat Jibril telah menerangkan bahawa tempat itu ialah tempat bersemadinya Masyitah dan keluarganya.
Hebat bukan dia?Benar sahabat-sahabat, agak berat bagi saya untuk memegang amanah nama, yakni Masyitah.

Entahlah. Mungkin pada pandangan mata pensyarah muda saya itu, saya seperti Masyitah. Akhlak, cara saya berpakaian dan pelbagai lagi tafsiran terhadap saya pada pandangan pensyarah itu persis Masyitah atau sebetulnya diri saya ini sesuai dengan namanya Masyitah.
Layakkah saya untuk memegang nama Masyitah?Sungguh, saya tidak mampu!
Terlalu hebat iman Masyitah jika hendak dibandingkan dengan diri saya yang banyak khilafnya.
Walaubagaimanapun dalam Islam, tetap menitik beratkan nama seseorang.
Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud:
"Sesungguhnya kamu akan diseru pada hari qiamat dengan nama-nama kamu, dan nama-nama bapa kamu, maka perindahkanlah nama-nama kamu itu."(Riwayat Abu Daud)
Ada juga bijak pandai mengingatkan agar kita sentiasa berdoa agar akhlak dan peribadi kita seiring dengan apa yang dimaksudkan dengan nama kita.
Makna nama yang baik juga mampu menaikkan motivasi diri seseorang agar dia mampu untuk menjadi seperti apa yang dimaksudkan dengan namanya.
Seorang anak berhak memperoleh nama yang baik.
Seorang sahabat datang kepada Rasulullah saw dengan mengandeng anaknya, lalu dia bertanya :
"Ya, Rasulullah, apa hak anakku ini atasku ?”Rasulullah menjawab,
“ Membaguskan namanya, memperbaiki adabnya (sopan santun) dan menempatkannya pada kedudukan (posisi) yang baik (fisik dan spiritual)." (H.R. Aththusi).
Buat pensyarah saya, terima kasih kerana mendoakan yang baik-baik buat anak muridmu ini dan memanggil saya dengan nama yang cukup hebat imannya dalam ad-din yang indah ini. Semoga dirimu dirahmati Allah swt wahai guruku.
Inilah pertama kali dalam hidup saya, ada orang silap memanggil nama saya lalu menggantikannya dengan panggilan yang cukup sempurna, Masyitah. Akan tersemat rapi dalam kalbu saya tentang peristiwa Masyitah dan ‘Masyitah’.
Buat diri: Semoga menjadi seorang ‘yang pemurah dan berpengetahuan’.