
Soalan:Assalamualaikum. Ada beberapa rakan saya mengatakan patung berhala yang mereka sembah itu diperbuat daripada batu, begitu juga kaabah yang Muslim sembah sewaktu menunaikan solat, juga diperbuat daripada batu. Jadi bagaimana kita hendak menjawab soalan mereka yang tidak faham ini? diharapkan awak boleh mendatangkan dalil-dalil dari al-Quran bagi menjawab persoalan ini.
Jawapan:Wa’alaikumussalam warahmatullah. Sebelum saya menjawab soalan saudara, izinkan terlebih dahulu saya bertanya kembali kepada saudara. Adakah kita sebagai Muslim menyembah kaabah? Tidak. Kita tidak sekali-kali menyembah dan tunduk kepada kaabah, tetapi kita menyembah Allah.
Kaabah tidak lain hanyalah sebagai kiblat dan arah di mana kaum muslimin menghadap kearahnya ketika solat. Ianya adalah sebagai paksi atau tanda penyatuan kita umat Islam. Hal ini telah disebutkan oleh Allah di dalam surah al-Baqarah ayat 144:
Maksud: Kerap kali Kami melihat Engkau (Wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan Engkau berpaling mengadap kiblat Yang Engkau sukai. oleh itu palingkanlah mukamu ke arah Masjid Al-Haraam (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. dan Sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) Yang telah diberikan kitab, mereka mengetahui Bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah Yang benar dari Tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa Yang mereka lakukan.
Di sini saya sertakan sedikit contoh bagi membuktikan bahawa kita tidak menyembah kaabah, tetapi hanya menyembah Allah. Pada zaman Rasulullah, manusia juga berdiri di atas kaabah bagi melaungkan azan sebagai tanda masuknya waktu solat dan mengajak kaum muslimin mendirikan solat. Jika disamakan kita menyembah kaabah sepertimana non-muslim menyembah berhala, maka adakah non-Muslim akan sanggup memijak berhala yang mereka sembah? Semestinya tidak. Tetapi bagi Muslim, tidak ada masalah bagi kita untuk berdiri di atas kaabah, kerana bukan kaabah yang kita sembah, tetapi hanya Allah.
Begitu juga dengan gambar kaabah yang terdapat pada sejadah yang kita gunakan sewaktu mendirikan solat. Bukanlah satu dosa kita melangkah atau terpijak gambar kaabah tersebut, malah sering saja kita melangkah sejadah2 yang terdapat gambar kaabah di atasnya ketika masuk ke dalam masjid atau surau.
Bukti lain yang dapat saya sertakan di sini, andaikan satu lagi kaabah dibina di KLCC, atau mungkin gambar kaabah digantungkan di bangunan KLCC. Maka adakah kita kaum muslimin akan menukar arah kiblat kita dan solat menghadap kaabah yang terdapat di KLCC? Tidak, kerana kita bukan menyembah kaabah, tetapi kita hanya menjadikan kaabah di Makkah itu sebagai petanda arah kiblat sebagai tanda penyatuan dan menunjukkan bahawa kita seluruh kaum muslimin hanya menyembah Allah yang satu, The One True God. Berbeza dengan non-Muslim, mereka menyembah mana-mana saja patung yang mereka anggap sebagai Tuhan tidak kira di mana pun ia berada.
Selain itu, bayangkan orang yang menunaikan solat di dalam penerbangan. Semestinya kedudukan mereka di dalam kapal terbang itu lebih tinggi daripada kedudukan kaabah itu sendiri. Maka adakah mereka akan tunduk atau membongkokkan tubuh mereka supaya mereka betul2 dapat mengadap kaabah tersebut? Tidak. Mereka solat tegak seperti biasa. Sekali lagi membuktikan bahawa bukan kaabah yang kita sembah, tetapi ia hanya digunakan sebagai arah atau kiblat umat Islam, sebagai tanda penyatuan dan penyembahan kepada hanya satu Tuhan.
Terdapat sebuah hadith di dalam sahih Bukhari, Volume 2, book of Hajj, chapter 56, H.No. 675 yang menyebut tentang Hajarul Aswad(seketul batu hitam di penjuru kaabah).
Umar radhiallahu anh berkata: “Aku tahu bahawa engkau(hajarul aswad) hanyalah seketul batu dan tidak boleh memberi kebaikan atau memudharatkan. Sekiranya aku tidak melihat Nabi s.a.w. menyentuh dan menciummu, nescaya aku juga tidak akan berbuat demikian.”
Percaya atau tidak, Kaabah di Makkah sebenarnya berada di pusat dunia.
Wallahu a’lam.
No comments:
Post a Comment