Entah kenapa cara (adab) makan selalu saya jadikan ukuran dalam menilai seseorang pemimpin. Mungkin kerana saya teringatkan kata-kata Saidina Ali dalam suratnya (Nahjul Balaghah) kepada Uthman Hunaif, tercatatMustahil aku dikalahkan hawa nafsuku, dan tak mungkin aku akan digiring oleh kerakusan untuk menikmati makanan terpilih sementara di negeri Hijaz dan Yamamah, masih ada manusia yang tak memimpikan sepotong roti dan tidak pernah merasakan kenyang! Akankah aku tidur dengan perut kenyang sementara di sekelilingku masih banyak perut lapar dan jiwa yang dahaga?
Itu menjadi ukuran keprihatinan dan kepekaan seorang pemimpin. Rasanya kayu ukur saya ini agak relevan dan munasabah memandangkan Imam Ghazali sendiri menjadikan ia hujah dalam bab adab makannya. Berkata Amirul Mukminin Ali (sumber Ihya Ulumiddin): Jika aku dapat mengumpulkan rakan-rakanku atau satu sha' dari makanan, lebih utama lagi bagiku daripada aku memerdekakan seorang hamba sahaya.
Juga dari sumber di atas: Setengah orang berkata, 'Kami pergi ke rumah Jabir r.a lalu dihidangkan kami roti dan cuka (acaran). Berkata Jabir: Kalaulah tidak kerana aku dilarang dari memberatkan diri dalam jamuan, tentulah aku akan hidangkan bermacam-macam makanan kepada kamu.
Hal tersebut menunjukkan pimpinan yang makan banyak, menyerlahkan kerasukan nafsu atau kerakusan nafsu yang juga banyak, dan untuk pemimpin yang rakus banyak itu sudah tentu membimbangkan kerana ia dapat menindas manusia jelata yang melata di muka bumi ini. Dalam sumber yang sama yakni Imam al-Ghazali: Rasulullah s.a.w pernah ditanya, 'Apa itu Iman
Baginda bersabda: Memberi orang makan dan menyebarkan salam. Dalam sebuah hadis lain, baginda bersabda mengenai membayar denda dan memperoleh darjat ketinggian, katanya: Memberi orang makan dan bersembahyang di malam hari sedang orang-orang masih tidur.

Rasulullah bersabda: Seburuk-buruk makanan, ialah makan walimah yang diundang orang-orang kaya saja dan tinggalkan orang-orang miskin pula."
Entahlah, mungkin kayu ukur saya ini salah. Katakan George Bush, memanglah ia tidak berhak dibicarakan di sini tetapi lihat sahaja setalam makanan yang ditatangnya, dan ini ketika upacara Thanks Giving, di Green Zone Iraq tahun lepas. Kita mengerti nafsu dan keserakahannya. Tambah-tambah rakyat Iraq di luar Green Zone itu mati kelaparan termsuklah kerana kekurangan ubat-ubatan.
Bandingkan dengan Mahmoud Ahmadinejad tentunya yang amat-amat sederhana. Al-Imam Al-Ghazali di dalam kitab Al-Arbai’n Fiaswal Addin mengatakan:
"Dan ketahui olehmu bahawasanya bagi lapar itu beberapa faedah. Setengah daripadanya nipis hati hingga mendapat ia akan sedap mengerjakan ibadat. Dan setengah daripadanya cerdik hati kerana kenyang itu menyebabkan bodoh dan setengah daripadanya memecahkan keinginan mengerjakan maksiat dan mengerasi atas nafas yang sangat menyuruh dengan kejahatan. Dan setengah daripadanya ringan tubuh bagi sembahyang tahajjud dan mengerjakan ibadat. Dan hilang mengantuk yang menegah ia daripada ibadat dan setengah daripadanya memada dengan sedikit harta dunia. Adapun kenyang itu maka ada padanya beberapa kebinasaan:
-iaitu ketiadaan sedap mengerjakan ibadat.
- menambah keinginan nafsu.
- ketiadaan kasihan kepada yang miskin, kerana apabila ia kenyang nescaya menyangka ia akan sekalian manusia semuanya kenyang bersalahan lapar. Maka ia sebab bagi kasihan belas akan orang miskin. Dan inilah setengah daripada hikmah wajib puasa.
- lemah daripada mengingat akan ilmu yang memberi manfaat.
Bahawasanya orang yang sempurna iman itu pergi balik ke masjid. Dan orang yang banyak kenyang itu pergi balik ke tandas."
Jadi rasa-rasanya munasabah juga tolak ukur itu memandangkan ulama silam sendiri telah menjadikan ia satu panduan.
Ini cumalah pandangan peribadi, foto-foto yang ada juga sekadar memberi nilai tambah kepada entri ini. Namun, pada saya nasi dan roti kosong itu amat memikat. Entahlah, ayam belanda seekor macam George Bush itu nampak sangat tamaknya. Makan buffet pula adalah sejenis cara makan yang menggalakkan pembaziran. Ingat ya, kita bercakap tentang pemimpin. Orang biasa yakni orang awam kerana tanggungjawab mereka tak seperti pemimpin mungkin boleh makan-makan tanpa risau sangat.
Apa pun bak kata Imam Ghazali, makan banyak mendorong tidur yang banyak. Tentu, pemimpin yang banyak makan kemudian banyak tidur tidak boleh dijadikan pemimpin, bukan? Sebab lojik mengajar kita yang tidur banyak tentulah tak bekerja banyak. Tak mungkin dalam rangka lojik dia tidur banyak kerja pun banyak. Ini sekadar satu cara ukur sahaja. Ada banyak cara ukur lain untuk pemimpin. Janganlah tuduh saya bukan-bukan. Menjelang pilihanraya ini macam ada 'witch hunt' pula.
Apa pandangan tuan-tuan, sesuai tak cara ukur saya itu.
Entahlah. Pasrah.
No comments:
Post a Comment