Baju raya sentuhan kaum Cina-tajuknya, membuatkan saya berpusing dua kali untuk menatapnya.
Saya baca-sambil tersenyum sendirian-mula timbul perasaan cemburu-terasa sedikit tercabar-berasa semangat untuk mencari ilmu dan...?
Keratan itu saya baca sebentar-banyak kerja yang perlu dibereskan-abaikan ia seketika-dan saya simpan buat inspirasi bagi saya.
Hari-hari terakhir membuat saya semakin rindu padaNya.

Artikelnya...
SUATU fenomena biasa, apabila menjelangnya hari perayaan seperti Aidilfitri, individu yang paling sibuk sekali ialah tukang jahit. Beratus-ratus helai pakaian tradisi seperti baju kurung, baju Melayu, baju kebaya perlu disiapkan sebelum menjelangnya Syawal.
Kesibukannya semakin terasa sekiranya pelanggan menghantar tempahan pakaian pada 'waktu kecemasan' iaitu pada awal atau pertengahan puasa. Hendak ditolak, pelanggan tetap dan jika diambil bimbang tidak dapat siap. Inilah dilema yang sering dialami tukang jahit.
Melihatkan kekalutan menyambut Hari Raya dari segi tempahan pakaian, sememangnya tukang jahit kaum Cina turut menjadi pilihan untuk menghasilkan baju-baju tradisional kaum Melayu.
Kenapakah ini berlaku, adakah kerana ketidakpercayaan atau ketidakselesaan oleh tukang jahit bangsa Melayu berbanding dengan kaum Cina?
Pemilik Lily Fashion, Lily Tan, 46, yang mempunyai pengalaman hampir 20 tahun dalam bidang jahitan mengakui bahawa musim raya adalah waktu yang paling sibuk.
Katanya, majoriti pelanggannya terdiri daripada orang Melayu yang tinggal di kawasan Setiawangsa, Hulu Klang dan sekitar Lembah Klang.
Beliau yang mahir dalam menjahit baju tradisional Melayu berkata, minatnya kepada jahitan bermula sejak remaja lagi tetapi hanya diceburi secara serius setelah berkahwin dan bekerja.
"Saya bekerja di pejabat selama 10 tahun, sambil-sambil itu belajar menjahit baju fesyen dan tradisional. Setelah mendalami ilmu jahitan, saya memberanikan diri mengambil upah menjahit yang dijalankan di rumah.
"Pada masa itu kebanyakan pelanggan terdiri daripada kawan-kawan pejabat dan jiran-jiran, malah saya turut mengadakan khidmat mengukur dan mengambil tempahan di rumah pelanggan.
"Saya mengunakan sebuah bilik kecil di rumah pangsapuri sebagai lokasi menjahit. Walaupun keluasannya agak terhad, ia cukup untuk menyiapkan tempahan pelanggan pada waktu yang ditetapkan.
"Apabila pelanggan semakin ramai dan tempat yang ada tidak sesuai untuk menerima pelanggan, maka saya menyewa kedai di Setiawangsa sebagai kedai jahitan sehingga sekarang,'' katanya.
Menurut wanita kelahiran negeri Melaka ini, selalunya, dalam pembuatan baju kurung atau kebaya, proses mengukur dan menggunting adalah penentu kepada keselesaan sesuatu pakaian itu.
"Jika ukuran yang diambil salah dan guntingan kain tidak betul, maka pakaian itu akan menjadi serba tidak selesa walaupun mempunyai bentuk tubuh yang cantik.
"Inilah yang selalu saya pentingkan. Biasanya, saya sendiri yang akan melakukan kerja mengukur dan menggunting kain pelanggan supaya mereka puas hati dan selesa dengan pakaian yang ditempah.
"Mungkin itulah sebab utama pelanggan saya terutamanya orang Melayu tidak ke tempat lain,'' ujar ibu kepada dua cahaya mata yang telah dewasa ini.
Tambahnya, dalam menjahit baju, beberapa faktor perlu diambil kira iaitu tubuh pelanggan. Jika tubuhnya lawa, pakaian yang dibuat akan cantik dipakai, tetapi jika tidak normal atau terlalu kurus, akan memberi masalah sedikit kepada tukang jahit.
"Namun, saya akan sentiasa berusaha memberi kepuasan kepada pelanggan. Jika pelanggan tidak puas hati, mereka boleh memulangkan kembali untuk dibetulkan semula sehingga mereka benar-benar berpuas hati.
"Begitu juga dengan dalam khidmat nasihat mengenai fesyen yang hendak dibuat. Kadangkala saya akan menasihatkan mereka fesyen yang sesuai untuk kain yang dibawa. Nampaknya, kebanyakan pelanggan saya boleh menerima cadangan dan akhirnya mereka puas hati dengan pakaian yang telah disiapkan,'' jelasnya.
Menurut Lily, setiap kali tibanya hari perayaan seperti Aidilfitri, tempahan akan meningkat sebanyak dua kali ganda membuatkan beliau dan pekerja terpaksa bekerja lebih masa.
"Ada ketika melewati hingga 12 jam sehari berbanding pada hari biasa hanya lapan jam sehingga waktu makan dan rehat pun terpaksa dilupakan bagi menyiapkan tempahan.
"Saya bukan sahaja mengambil tempahan menjahit baju, tetapi menjahit manik dan menyulam. Nasib baiklah pekerja-pekerja yang ada memang mahir dan boleh menyiapkan dengan cepat dengan kualiti yang baik,'' katanya.
Walaupun katanya, baju kurung paling senang dibuat tetapi jika guntingan kain silap, ia akan mencacatkan pakaian, begitu juga dengan baju kebaya yang mengikut badan.
"Saya sentiasa memastikan pakaian pelanggan menepati kekemasan jahitan. Ini bagi mengelakkan sebarang aduan atau pelanggan 'lari'. Inilah yang menjadi prinsip saya dalam menyiapkan tempahan,'' katanya.
Lily memberitahu, kreativiti seseorang dalam menjahit pakaian bukan sahaja terletak pada kecanggihan mesin jahit dan fesyen yang dihasilkan.
"Apa yang penting ialah keupayaan memenuhi cita rasa dan keselesaan pemakai agar mereka tidak merungut selepas pakaian siap diambil.
"Kita dibayar untuk menjahit pakaian mereka. Sebab itulah kita mesti bertanggungjawab menyiapkan pakaian mengikut keselesaan mereka,'' katanya mengakhiri perbualan.
Nota kaki: Nanti, saya akan ulas lagi mengenai entri kali ini. Insya' allah.
Salam hari-hari terakhir~
No comments:
Post a Comment