
Entri cuti sekolah, tulisan saya macam kanak-kanak pula. Antara faktor besar menyebabkan saya tidak menulis adalah tidak membaca dan kurang bermusafir. Bila banyak membaca,semakin bertambah ilmunya. Bagi saya, jika banyak berjalan, bermusafir, berjumpa dengan orang ramai...minda kita akan berkembang.
Keadaan di sekitar saya saat ini, amat membimbangkan. Dengan iman yang ada pasang-surut. Perlukan sesuatu untuk menstabilkannya kembali. Mudah-mudahan, Ahad ini...keluar bersama teman lama, dirahmati Allah.
Saya mahu cerita tentang pasar. Pernah ke pasar seawal enam pagi untuk mengelakkan kesesakkan lalu-lintas di pekan. Suasana di pasar sangat mengujakan. Semuanya sibuk belaka dan pelbagai bangsa yang bangun seawal pagi itu(lebih awal pastinya) untuk mencari rezeki Allah (orang Islam, subuh kita bagaimana?). Benar-benar bersyukur bila dapat menikmati suasana tersebut.
Di pasar, saya belajar kembali cara bermuamalat dengan baik. Daripada tidak kenal kepada kenal. Diam kepada banyak bicaranya. Menjadi seorang yang mudah tersenyum serta menyebarkan salam kepada yang Islam. Dulu, saya susah buat semua itu. Dalam diam juga, ibu perkenalkan teman-temannya di pasar. Pasangan suami isteri yang berniaga santan, mak cik yang berbangsa Cina-menjual tepung, gula serta bahan-bahan kering yang lain, mereka yang berniaga sayur-sayuran juga sudah saya kenali. Ada rezeki, mahu kenal dengan pakcik berbangsa India yang menjual ikan-ikan yang sentiasa segar itu.
Cuma satu, peniaga buah-buahan(biasanya ibu akan ke chow kit,bagi mendapatkan buah-buahan yang enak dan rangup) di pasar itu yang saya sendiri usaha untuk berkenalan. Semuanya kerna pisang. Mahu tidak mahu, saya perlu buka mulut untuk menurunkan lagi harga yang ada, kerna perlu membelinya dalam kuantiti yang banyak. Banyak lagi yang saya dapat dan akan pelajari apa yang berlaku di pasar.
Mudah-mudahan...Allah membantu saya dalam menjaga hubungan saya dengan-NYA dan hubungan sesama manusia.
Alhamdulillah...Yang utama dan yang mulia mengingatkan agar menghidupkan cara bergaul yang diajar Rasulullah s.a.w..dengan sesama manusia dan ciptaan Allah.
Nota kaki:Suka, dengan bau-bauan pada waktu pagi.
No comments:
Post a Comment