March 09, 2009

Lama sudah.

Agak lama bagi saya untuk mencerna konsonannya kali ini.

Saya perolehi ia pada 20 ramadhan 1428H lalu dan baru hari ini,12 rabiulawal 1430H saya dapat memahaminya. Cuti, saya ambil masa untuk menghadamnya. Memang sebelum ini, saya bawa juga ia kemana-mana tetapi saya tidak mampu untuk menikmatinya.

Tuhan Manusia. Novel pertama FT yang saya ambil masa untuk memahaminya. Berkhalwat di dalam bilik. Saya hanyut dengan jalan ceritanya. Berkisar tentang orang muda yang faham akan falsafah, membuatkan otak saya dipaksa berkerja lebih sedikit. Agak tersentuh bila membaca nasihat ibunya buat si anak. Tentang ulul albab.

678 muka surat untuk Tungu Teduh Dulu, dapat menghanyutkan saya. Masakan Tuhan Manusia yang separuh daripadanya perlu saya tinggalkan. Bertekad juga hendak menghabiskan pembacaan saya (walaupun sudah tiga kali memulakan pembacaan) kerna tinta beliau biasanya nasihat. Buku yang setebal 345 muka surat itu amat bermanfaat buat saya dan sangat bersykur bila dapat membacanya dari kulit ke kulit.

Cerita Perempuan Di Wajah Langit Pelangi, ikut tak novel bersiri ini di Melinia Muslim? Ahaaa...MM, merupakan antara tempat saya berusrah. Dua minggu sudah, sewaktu menunggu ayah, baru saya sedar tentang Ali Taqi, dan Dr. Ali Taqi. Mereka merupakan orang yang sama rupanya. Alahai...lambat bagi saya untuk perasan akan itu. Tanya pada Yang utama dan yang mulia, dia pun tidak perasan.

Andai kota itu peradaban, rumah kami adalah budaya,
dan menurut ibu, tiang serinya adalah agama.

Akhirnya...saya faham akan kata itu, wahai ibu!

March 08, 2009

Pemergianmu.


Pemergianmu-InTeam


[Ya Rasulullah...]
Kau masih tersenyum mengubat lara
Selindung derita yang kau rasa
Senyuman yang mententeramkan
Setiap insan yang kebimbangan


Hakikatnya, tak tertanggung lagi derita
Di pangkuan isterimu Humaira'
Menunggu saat ketikanya
Diangkat rohmu bertemu Yang Esa


Tangan dicelup di bejana air
Kau sapu di muka mengurangkan pedih
Beralun zikir menutur kasih
Pada umat dan akhirat


Dan tibalah waktu ajal bertemu
Penuh ketenangan jiwamu berlalu
Linangan air mata syahdu
Iringi pemergianmu


Oh sukarnya untuk umat menerima
Bahkan payah untuk Umar mempercaya
Tetapi iman merelakan jua
Bahawa manusia 'kan mati akhirnya


Tak terlafaz kata mengungkap hiba
Gerhanalah seluruh semesta
Walaupun kau telah tiada
Bersemarak cintamu selamanya


Ya Rasulullah
Kau tinggalkan kami warisan yang abadi
Dan bersaksilah sesungguhnya
Kami merinduimu



Salam menghidupkan sunnah kekasihNYA.

March 04, 2009

Sehari.

Isya'. Saya bermunajat padaNYA agar dipermudahkan urusan saya selepas ini. Juga, bermohon agar, mereka yang duduk disebelah saya adalah orang yang saya rasa selamat bersama mereka. Memang itu doa yang acap kali saya panjatkan setiap kali menaiki kenderaan awam terutamanya bas. Pelbagai cerita yang kurang enak ketika duduk di dalam saat ini.

Zohor. Seorang wanita sedang mengendong anaknya duduk disebelah saya. Alhamdulillah! Gembira tidak terhingga dan bersyukur sangat saya dengan kehadiran wanita itu. Kami bertukar tempat duduk kerna lebih mudah baginya untuk duduk di tepi tingkap. Bertanya umur serta nama bayinya. Hehh. Terdetik dalam hati saya, ramah sungguh saya ketika itu. Raut wajahnya menunjukkan dia masih muda. Dengan selamba saya menggelarkannya kakak. Ketika saya dapat tahu umurnya baru berusia dua puluh empat, terkejut saya. Bersusah payah bawa anak kehulur-kehilir dan beg lagi. Kemana suaminya? Sibuk ke kantor balasnya. Sampai di terminal, wanita itu turun mengendong bayinya yang sedang lena diulit mimipi. Saya, terhegeh-hegeh membantunya membawa beg bersama dengan beg saya yang penuh dengan kertas-kertas dasar.

"Haa. Dah sampai pun."
"Siapa?"
"Suami."
"Yang mana satu?"

Hampir terlepas beg dari pegangan saya.
Mudanya kamu, wahai abang!

Asar. Saya mempelawa orang disebelah saya makan bersama, snek yang saya bawa. Dia menolak dan bermulalah sesi taa'ruf kami. Dengan selamba juga saya panggil orang itu dengan panggilan 'kak'. Malangnya kurang tepat tebakan saya itu, dia dua tahun lebih muda daripada saya. Iya, saya dapat kawan baru dalam masa sehari. Itulah nikmat bermusafir. Berasa syukur dengan nikmat Illahi, apabila dapat berkenal-kenalan dengan insan yang lain.


Sangka buruk.

Sifat yang bukan mudah untuk saya kikis. Sebenarnya saya lebih berhati-hati. Berjaga-jaga juga lebih tepat. Bukan mudah bagi saya untuk membuka mulut memulakan bicara. Terutamanya dengan orang yang tidak saya kenali. Mudah saya bersangka buruk pada mereka yang bertanya arah jalan pada saya. Entahlah. Takut-takut diapa-apakannya. Kaum adam terutamnya. Pernah dulu, ada seorang hamba Allah bertanya pada saya, tren mana yang perlu diambil untuk sampai ke destinasinya. Terkejut saya dengan soalanya. Buta hurufkah dia untuk membaca apa yang tertulis di peta perjalanan tren? Tanyalah pada kaum yang sejenis dengan kamu atau bertanyalah pada orang lain. Jerit hati saya. Tetapi saya tetap juga memberi jawapan. Dan, beristigfar. Itulah yang selama ini dibuat ketika perasaan bersangka buruk itu keluar tanpa dijangka.

Lagi? Kes-kes ragut, pukau dan pelbagai lagi kes yang menjadi buah mulut masyarakat membuat saya terlalu berhati-hati. Salahkan saya?


Ya Allah. Lindungilah diri hambaMU ini daripada gangguan syaitan serta manusia yang bertopengkan syaitan. Ameen.