Isya'. Saya bermunajat padaNYA agar dipermudahkan urusan saya selepas ini. Juga, bermohon agar, mereka yang duduk disebelah saya adalah orang yang saya rasa selamat bersama mereka. Memang itu doa yang acap kali saya panjatkan setiap kali menaiki kenderaan awam terutamanya bas. Pelbagai cerita yang kurang enak ketika duduk di dalam saat ini.
Zohor. Seorang wanita sedang mengendong anaknya duduk disebelah saya. Alhamdulillah! Gembira tidak terhingga dan bersyukur sangat saya dengan kehadiran wanita itu. Kami bertukar tempat duduk kerna lebih mudah baginya untuk duduk di tepi tingkap. Bertanya umur serta nama bayinya. Hehh. Terdetik dalam hati saya, ramah sungguh saya ketika itu. Raut wajahnya menunjukkan dia masih muda. Dengan selamba saya menggelarkannya kakak. Ketika saya dapat tahu umurnya baru berusia dua puluh empat, terkejut saya. Bersusah payah bawa anak kehulur-kehilir dan beg lagi. Kemana suaminya? Sibuk ke kantor balasnya. Sampai di terminal, wanita itu turun mengendong bayinya yang sedang lena diulit mimipi. Saya, terhegeh-hegeh membantunya membawa beg bersama dengan beg saya yang penuh dengan kertas-kertas dasar.
"Haa. Dah sampai pun."
"Siapa?"
"Suami."
"Yang mana satu?"
Hampir terlepas beg dari pegangan saya.
Mudanya kamu, wahai abang!
Asar. Saya mempelawa orang disebelah saya makan bersama, snek yang saya bawa. Dia menolak dan bermulalah sesi taa'ruf kami. Dengan selamba juga saya panggil orang itu dengan panggilan 'kak'. Malangnya kurang tepat tebakan saya itu, dia dua tahun lebih muda daripada saya. Iya, saya dapat kawan baru dalam masa sehari. Itulah nikmat bermusafir. Berasa syukur dengan nikmat Illahi, apabila dapat berkenal-kenalan dengan insan yang lain.
Sangka buruk.
Sifat yang bukan mudah untuk saya kikis. Sebenarnya saya lebih berhati-hati. Berjaga-jaga juga lebih tepat. Bukan mudah bagi saya untuk membuka mulut memulakan bicara. Terutamanya dengan orang yang tidak saya kenali. Mudah saya bersangka buruk pada mereka yang bertanya arah jalan pada saya. Entahlah. Takut-takut diapa-apakannya. Kaum adam terutamnya. Pernah dulu, ada seorang hamba Allah bertanya pada saya, tren mana yang perlu diambil untuk sampai ke destinasinya. Terkejut saya dengan soalanya. Buta hurufkah dia untuk membaca apa yang tertulis di peta perjalanan tren? Tanyalah pada kaum yang sejenis dengan kamu atau bertanyalah pada orang lain. Jerit hati saya. Tetapi saya tetap juga memberi jawapan. Dan, beristigfar. Itulah yang selama ini dibuat ketika perasaan bersangka buruk itu keluar tanpa dijangka.
Lagi? Kes-kes ragut, pukau dan pelbagai lagi kes yang menjadi buah mulut masyarakat membuat saya terlalu berhati-hati. Salahkan saya?
Ya Allah. Lindungilah diri hambaMU ini daripada gangguan syaitan serta manusia yang bertopengkan syaitan. Ameen.
No comments:
Post a Comment