Malam raya.
Gembira,seronok dan bersyukur adalah perasaan saya ketika Syawal menjelma. Mudah-mudahan, Ramadhan akan datang, dapat saya nikmati sekali lagi.
Sebenarnya, ketika malam raya, sedang saya asyik menonton tivi tiba-tiba hati saya terdetik. Mengapa semua rancangan hiburan sahaja? Hiburan yang tidak berkesudahan pula. Letih saya. Adik dan saya acap kali bertukar-tukar siaran bagi mencari siaran tivi yang bersesuaian dengan jiwa kami, malangnya satu pun tak melekat.
Jam 12 malam. Tivi disenyapkan. Adik dan saya juga diam seketika. Habiskan kerja-kerja kami saat-saat akhir ketika itu. Bermuhasabah diri sekejap. Baru beberapa jam selepas berbuka puasa, baru beberapa ketika takbir raya bergema dan baru beberapa saat Ramadhan melabuhkan tirainya…keadaan kita bagaimana?
Setahu saya, memang sunnah kita perlu bergembira meraikan lebaran tetapi terlalu asyik dan melalaikan satu perkara yang perlu dielakkan. Entahlah…memang perlu sentiasa mendekatkan diri denganNya agar tidak terlalu asyik dengan duniawi.
Raya ke-2.
Ibu saya perlu bekerja pada hari raya ke-3. Jadi, kami pulang awal dari kampung. Walaubagaimanapun, 2 hari beraya, nikmat menziarhi sanak saudara yang dekat dan jauh amat saya syukuri. Yang tua semakin dimamah usia dan yang muda pula semakin menginjak ke usia remaja dan dewasa.
Juadah raya amat membuka selera saya. Saya suka makan dan sesungguhnya saya amat bersyukur nikmat kemewahan makanan dan kesihatan yang baik untuk menikmatinya. Cumanya, saya kurang gamar makan atau mencuba biskut-biskut raya yang dihidangkan. Jemu melihat kepelbagaian biskut barangkali.
Pertemuan saya dengan abang saudara saya-abang bobby kali ini amat bererti buat saya. Iya, dia saudara jauh saya dan jarang-jarang benar kami bertemu. Masakan tidak, Laut China Selatan yang memisahkan kami.
Tiba saatnya untuk mengundur diri dari rumahnya. Kami bersalam-salaman antara satu sama lain. Wajah-wajah ceria jelas kelihatan bagi mereka yang menerima dan memberi duit raya.
Angpow raya dihulurkan pada saya. Terkejut saya. Yelah…umur sekarang masih lagi berpeluang menikmati duit raya. Ada orang amat berkira tentang pemberian duit raya ni. Jangan main-main.
“Saya pun boleh dapat ke abang bobby?” , tanya saya.
Jawapan untuk saya, “Tak salahkan. Masih belajar lagi. Tak mengapa. Kira sedekah tu. Mase bobby belajar dulu pun ramai orang yang beri sedekah. Belajar rajin-rajin.”
Dia tersenyum.
Saya menikmati kata-kata yang dilafazkan oleh abang saudara saya dan saya pegang kata-katanya dan berasa teruja dengan niatnya.
14 orang jumlah sepupu saya dan setiap seorang dariapada kami mendapat rezeki yang telah ditetapkan olehNya melalui abang saudara kami. Dalam kereta, buka angpow raya dan terserlah not berwarna merah, RM10. Semakin bersyukur kami.
Adik saya dan saya tidak berhenti-henti bercerita tentang abang bobby. Muda lagi orangnya. 2 cahaya mata baru diperolehi. 5 tahun umur si sulungnya. Rezeki dia lebih, berkongsi bersama kami, memang amat menyeronokkan. Kelebihan dia. Dia contoh yang baik buat kami.
Syawal kali ini amat saya syukuri, amat bermakna dan juga menyeronokkan. Alhamdulillah. Segala puji-pujian hanya buatNya.
Nota kaki: Ingin berjumpa dengan orang kaya bertaqwa dan menjadi orang kaya bertaqwa. Mudah-mudahan dipermudahkan olehNya rancangan ini.
No comments:
Post a Comment