March 30, 2008

Kelas Memasak.

Petang tadi, saya baru sahaja menghadiri kelas memasak.


Nota saya.

Pertama kali saya menghadiri kelas seperti itu dan saya agak lambat menghadirikan diri sebenarnya. Apabila saya melangkahkan kaki ke dalam kelas itu, terperanjat juga saya dibuatnya. Ramainya orang dan kelas telahpun bermula membuatkan orang yang masih hijau seperti saya ini teruja!

Dalam kelas ini, saya akan mempelajari tiga jenis resepi. Yang pertamanya cara-cara membuat Cream Caramel, Cherry Chocolate Crumble Cake merupakan resepi yang seterusnya dan akhirnya resepi American Brownies.Chef yang menunjukkan cara-cara membuatnya agak lucu orangnya dan itulah pertama kali saya menghadiri ke kelas masakan dan mungkin yang terakhir buat saya ditemani oleh ibu. Ibu mengamanahkan kepada saya untuk menghadiri ke kelas-kelas yang akan datang dengan sendirinya.


Antara ‘pelajar-pelajar’ yang hadir.


Dikelilingi oleh orang-orang yang lebih berusia daripada saya membuatkan saya sedikit kekok untuk bergaul dengan pelajar-pelajar disana. Ibu mengingatkan saya, agar tidak banyak bercakap tetapi perlulah memberikan sepenuh perhatian terhadap apa yang diperkatakan oleh chef dan nota perlulah dicatit sebanyak mungkin. Sama seperti dalam kuliah yang saya hadiri setiap hari.

Cream caramel.

Saya tidak dapat untuk merasai produk pertama ini kerana duduk di belakang sekali.


Cherry Chocolate Crumble Cake.

Suka akan kehadiran dark pitted cherry dalam kek ini dan mengingatkan saya akan kek Black Forest. Jemput makan!

American Brownies.


Taraaaa! Kek yang saya kurang gemari sebenarnya tetapi mendapat sambutan hangat oleh pengemar-pengemar kek. Rasanya yang manis membuatkan saya kurang menyukainya. Tetapi ibu menyarankn kepada saya agar kurangkan kuantiti gulanya apabila membuatnya nanti.

Buat diri: Hiduplah untuk memberi sebanyak-banyaknya, bukan untuk menerima sebanyak-banyaknya.

March 21, 2008

Aku Seorang Pecemburu

Saya baru sahaja selesai habis membaca novel sejarah Islam karya Abdul Latip Talib. Novel ini menceritakan tentang Ikramah bin Abu Jahal. Kemungkinan besar, bagi sahabat-sahabat di luar sana, ada yang tidak mengenali beliau ataupun terlepas pandang tentang kewujudan beliau dalam sejarah Islam. Mari, saya ceritakan serba sedikit tentang Ikramah bin Abu Jahal.



Ikramah-Penentang Jadi Pembela.

Beliau merupakan anak kepada Abu Jahal. Seorang panglima yang gagah berani, penunggang kuda yang handal dan banyak pengalaman berperang. Pepatah Melayu ada mengatakan mana tidak tumpahnya kuah jika tidak ke nasi. Begitu jugalah sikap Ikramah. Bencinya terhadap Rasulullah saw dan Islam sama seperti bapanya. Lebih-lebih lagi bapanya telah terbunuh dalam Perang Badar. Semakin meluap-luaplah kebenciannya terhadap pesuruh Allah swt dan agama yang suci ini yakni Islam.

Apabila tentera Islam berjaya menakluki kota Mekkah, Ikramah bersama Hammas serta beberapa orang pengikut mereka berari mencari tempat persembunyian. Mereka bertekad untuk menentang tentera-tentera Islam meskipun tahu bilangan mereka sedikit berbanding tentera Islam. Ikramah berusaha untuk meminta pertolongan daripada raja-raja sekitar Mekkah seperti raja Yaman dan raja Habsyah. Ketika itu beliau perlu mengembara seorang diri apabila sahabat baik beliau iaitu Hammas serta beberapa orang pengikut telah kembali ke Mekkah serta memeluk ad-Din yang mulia ini.

Semasa dalam perjalan ke Habsyah. Ikramah menumpang sebuah kapal yang kebetulan dalam perlayaran ke sana. Dalam perlayaran tersebut, satu keajaiban telah berlaku di mana kejadian tersebut telah mula membuka kalbu Ikramah untuk menerima Islam. Setelah selamat sampai di tanah Habsyah dan menemui raja Habsyah, keyakinan Ikramah terhadap Islam semakin bertambah. Raja Habsyah telah mengirimkan hadiah dan salam kepda Muhammmad saw.

Berkat doa isteri yang tercinta,Atikah serta junjungan yang mulia,Rasullulah saw. Ikramah akhirnya memeluk Islam. Pada awalnya memang Ikramah di tentang hebat oleh beberapa orang Islam terutamanya Hammas. Alasan Hammas, Ikramah merupakan anak kepada Abu Jahal. Walaupun pada awalnya Abu Jahal seorang yang amat gembira dengan kelahiran Muhammad bin Abdullah tetapi apabila beliau dilantik menjadi pesuruh Allah swt dan telah diamanahkan untuk membawa Islam di seluruh mayapada ini, Abu Jahal merupakan orang yang paling kuat menentangnya. Tetapi itu Abu Jahal,ayahnya bukannya Ikramah,anaknya yang telah mendapat hidayah dari Pencipta alam semesta ini.Ikramah bertekad untuk membuktikan beliau benar-benar cinta akan Islam dan Rasulullah saw.

Dengan izinNya, Ikramah telah dilantik oleh Rasulullah saw bagi menjadi amir di daerah Hawazin. Ikramah bersyukur terhadap Ilahi.Imannya juga semakin mantap. Setelah wafatnya Rasulullah saw dan Abu Bakar As-Siddiq dilantik menjadi khalifah, sekali lagi Ikramah diberi kepercayaan untuk mengetuai peperangan di Yamamah. Dimana, beliau perlu menentang nabi palsu saperti Laqit bin Malik dan Musailamah al-Kazab dan mereka yang telah murtad setelah kewafatan orang yang disayangi, Rasulullah saw. Keadaan ini, tidak dapat dikawal lagi. Ikramah juga berperang di Oman dan Maharah. Beliau membantu Khalid bin al-Walid dalam peperangan seterusnya.

Ikramah turut serta menentang tentera-tenetera dari Rom. Dengan semangat jihad yang tinggi serta tidak sabar untuk menemui yang Esa. Beliau berperang bersungguh-sungguh. Ramai tentera musuh tewas di hujung pedang Ikramah. Beliau juga kelihatan seperti singa yang sedang kelaparan. Sebenarnya sahabat-sahabat, peperangan ini merupkan peperangan yang terakhir bagi anak kepada Abu Jahal ini. Ikramah cedera parah dan akhirnya cita-cita yang diingini yakni syahid di jalan Allah swt tercapai.Siapa tahu.Dahulunya seorang yang amat membenci Islam kini telah mati kerana Islam.

“ Dahulu aku berperang untuk al-Latta dan al-Uzza. Sekarang aku serahkan jiwaku dengan ikhlas kepada Allah swt.”

- Ikramah bin Abu Jahal.



Cemburuku Semakin Meluap.

Benar sahabat-sahabtku.Cemburu saya tidak dapat dibendung lagi. Saya cemburu terhadap orang yang mendapat hidayah daripada Allah swt. Lebih-lebih lagi orang-orang yang baru memeluk Islam (mualaf). Seperti pejuang Islam yang saya ceritakan diatas ini.Ikramah.Kita semua juga tentu ingat akan Umar al-Khattab. Bencinya terhadap islam pada awalnya membawa dia bergelar al-Faruq (pemisah antara hak dan batil) selepas memeluk Islam.Begitu indahnya Islam.

Tidak kurang hebatnya, orang-orang yang telah memeluk Islam di tanah air kita. Mereka juga amat hebat setelah bergelar mukmin.Ustaz Farid Ravi antara orangnya.Beliau pernah dijemput oleh pihak sekolah saya ketika sambutan maulidur rasul yang lalu. Jika tidak silap, umur saya sama dengan tempoh pengislaman ustaz tersebut. Sungguh, saya amat mencemburuinya. Orang yang sememangnya dilahirkan dalam Islam, iman serta ibadah mereka tidak sehebat orang yang baru memeluk agama yang ‘universal’ ini.

Pada waktu cuti lalu, saya mengambil keputusan untuk mempelajari al-Quran semula.Tentang tajuwidnya,taranumnya serta makna-makna tersirat yang disimpan baik dalam kitab suci ini mula saya pelajari. Dalam tempoh sesingkat ini saya ditemukan oleh Allah swt kepada seorang makcik.Ya.Dia seorang mualaf.Sudah mempunyai dua orang cahaya mata. Amat bersungguh-sungguh dalam mempelajari kalam Allah swt. Walapun pelat Cinanya tidak dapat dibuang, akhirnya beliau berjaya membaca al-Quran setelah 12 buku iqra’ berjaya dikhatamkannya. Sedangkan ada sahabat saya sendiri, dilahirkan sebagai seorang Islam tidak tahu membaca surah Yassin pun. Benar-benar buat saya insaf.



Mengapa boleh jadi sedemikian? Memang saya selalu bermuhasabah diri dewasa ini. Setiap pertemuan saya dengan sesama insan ada hikmahnya. Sering juga saya berdoa agar Allah swt menemukan sahabat-sahabat yang dapat mengingatkan saya tentang Allah swt. Syukur juga saya apabila dikurniai ibu dan ayah yang menjalankan amanah mereka dengan baik.Saya amat bersykur dengan nikmat ini. Terasa diri ini semakin kerdil dan dhaif. Memang benarlah apa yang dikatakan oleh Abu Hurairah ra., ia berkata : Rasulullah saw. bersabda : "Tidak ada anak yang dilahirkan, kecuali dilahirkan atas kesucian. Dan orang tuanya menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi sebagaimana binatang itu dilahirkan dengan lengkap. Apakah kamu melihat binatang lahir dengan terputus (hidung, telinga dan lain-lain)?"
(HR: Bukhari)

Semasa dalam perjalanan pulang ke kampung, saya, ibu, ayah dan adik-adik sering berteka-teki. Aktiviti ini dapat mengeratkan ukuwah, mendalamkan perasaan kasih sayang dan juga dapat memaksa otak kita ‘berkerja’ bagi mencari jawapan. Kini, tiba giliran ayah untuk menjual teka-tekinya kepada kami. Bersemangat kami untuk mendengar teka-teki daripada ayah.

Ayah: Dalam banyak-banyak orang di dunia ni. Orang yang mana paling layak kita
cemburui?

Saya: Orang yang baik!

Adik 1: Orang pandai!

Adik 2: Orang kaya!

Ayah: Salah,salah dan salah.

Kami masing-masing berfikir dan akhirnya mengalah. Jawapan daripada ayah ialah:

“Dalam Islam orang yang paling layak dicemburui ialah orang yang menghafaz al-Quran dan orang yang paling banyak menderma(bersedekah).”

Hening seketika.Hanya kedengaran alunan muzik daripada radio yang dipasang. Masing-masing bermuhasabah diri. Baiklah, mereka juga antara orang yang saya cemburui.

Sahabat-sahabatku, memang hidayah milik Allah swt. Dia sahaja yang layak memberi kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Tetapi dengan ilmu yang diperolehi, kita tentu sahaja dapat membezakan antara perkara baik dan buruk.

Moga-moga, kita yang dilahirkan dalam Islam ini, bertambah imannya walaupun pada dasarnya iman memang tidak dapat diwarisi. Berdoalah agar kita sentiasa mampu menegakkan panji-panji Islam. Sekiranya kita memang dilahirkan dalam Islam, itu merupakan satu bonus buat kita. Bukan semua orang mendapat nikmat ini. Jangan salahkan ibu bapa sekiranya kita gagal menjadi hamba Allah swt yang taat. Muhasabahlah diri selalu dengan nikmat yang diberikan olehNya.


Sunnguh.Aku memang seorang cemburu orangnya!

Buat diri: Semoga selalu ‘lepak’ dengan al-Quran.