December 28, 2008

Tiga.

"Entah apa-apa diorang tu".

"Siapa?"

"Perang tak henti-henti."

Komentar Mal mengenai berita perang yang tidak berkesudahan di kaca tivi.

Sambil makan tengah hari. Saya bersembang dengan Mal.

"Mal. Kita kena tolong Islam. Sekarang, kita kena sungguh-sungguh apa yang kita sedang buat. Tolong Islam dan keluarga sama ada dari segi ekonomi atau ilmu. Saya dalam bidang saya, Yang utama dan mulia akan berusaha menguasai ilmunya dan kamu juga Mal ada kerja yang perlu diselesaikan. Kita semua berlainan bidang tetapi mempunyai matlamat yang sama."

Saya meneruskan suapan saya.

"Lagi?", tanya Mal.

Dalam hati saya berdetik, ingatnya adik saya ni kurang peduli apa yang saya utarakan. Maklumlah perbezaan umur kami sebelas tahun.

Memang benar. Saya bukanlah datang dari keluarga yang besar. Tetapi sangat bersykur bila Allah berikan nikmat kami sefikrah. Kesedaran terhadap Islam tumbuh bersama. Saya juga sedar yang kami saling lengkap-melengkapi. Amat saya hormati pandangan adik-adik saya terhadap saya.

Saya juga sedar bukan mudah untuk menjadi Mal, begitu juga Yang utama dan yang mulia.
Bak kata dia, kita semua mempunyai kekuatan masing-masing.
Paling utama, saya sedar yang Tuhan tidak cipta kita untuk buat semua benda.

Jadi, saya berdoa agar kami bersama berhijrah dalam mencapai matlamat kami.
Doa saya:

Ya Allah, kuatkan iman kami dalam menghadapi ujian yang telah ditetapkan olehMu. Jangan sesekali kami bersangka buruk dengan apa yang telah Engkau tetapkan buat kami dan janganlah kami berputus asa dengan rahmatMu, Ya Allah.


Doakn kami berjaya dunia dan akhirat.

Saya tinggalkan angka empat belas dan dua puluh sembilan hijrah dengan misi yang baru. Usia semakin meningkat dan insya Allah akan saya mudakan iman saya.

Dan buat teman-teman yang akan memulakan semesta baru, semoga bergembira dan bersyukur ketika berada di 'taman-taman syurga'.

Salam 'berhijrah' semua!

December 27, 2008

Wangi.

Hampir sebulan Mal duduk sana. Pertama kali saya ziarah dia. Sampai biliknya, saya tolong kemaskan baju-bajunya, lipatkan sekali.

Baju dia...Masya Allah,wanginya! Dah basuhpun melekat lagi harumannya. Tergelak saya seorang diri. Malas nak bertanya pada dia. Dia sibuk mencari barang-barang yang perlu dibawa pulang.

Dalam kereta, duduk sebelah dia pun masih lagi kuat bau yang wangi. Aiseyy...mamat ni.
Pagi tadi sidai bajunya...wangi juga. Hehhh...Mal.Mal.

Lagi...siapa yang sering berbau harum. Tingkah laku Mal teringat saya pada orang yang disayangi yakni atuk saya.

Dia juga suka memakai haruman. Bertandang ke rumah saya. Kadang-kadang dia solat di kamar saya. Sejadah yang digunakan serta al-Quran yang dibacanya berbau harum. Selepas tiga hari barulah haruman tu pergi.

Bau-bauan mereka mengingatkan saya pada mereka walaupun kami berjauhan.

Insya Allah tahun baru cina jumpa atuk. Dan malam tadi, saya berborak dengan Mal hingga ke satu pagi!

Ya Allah, satukanlah hati-hati kami, adik-beradik. Ameen.

December 26, 2008

Rindu.

Alhamdulillah.
Akhirnya dapat juga saya pulang ke rumah walaupun seketika. Lepak bersama ibu ayah. Bantu ibu kemas rumah, gosokkan baju kerjanya. Sangat saya syukuri nikmat tersebut.
Raya haji kedua yang lalu barulah saya dapat bercerita itu ini pada yang utama dan mulia. Rasa semangat sikit bila dah duduk rumah dan buat luahan perasaan.

Mal.
Malam ini, lepas isya' saya akan ambil dia. Tak sabar rasanya untuk mendengar cerita-ceritanya. Selama ini kerap kali dengar ceritanya daripada ibu. Tentang dipiat telinga oleh ustaz selepas makan pisang sambil berdiri usai solat jumaat. Lagi, jubah yang terkoyak ketika bergurau-senda dengan teman-temannya. Minggu lalu, dia inginkan haruman untuk badannya (kira minyak wangi la tu) dan ayah saya bertanya pada si penjual, "Ada minyak wangi Mawi tak?". Tergelak ibu saya. Dan sekarang Brave menjadi temannya. Alahai...Mal. Saya rindu kamu!

Yang utama dan mulia.
Esok, insya Allah dia pulang. Sanggup tidak bercuti bersama teman-temannya kerna mencari duit poket yang lebih. Tak sabar juga mendengar cerita daripadanya mengenai kem yang diikuti dan natijah yang dia perolehi sepanjang dua minggu lebih disana. Rindu juga akan nasihat, pandangan dan teguran darinya walaupun umurnya dua tahun lebih muda daripada saya. Sungguh rindu saya untuk bergelak ketawa bersama dia.

Terima kasih YA ILLAHI kerna limpahan nikmat kasih sayangMu yang tidak bersempadan.

Juga buat kak nor,terimas sudi bawa saya berkelana bersama Sinbad di IB.
Dan kak zai, pengalaman berada di Taming Sari dan, dua kali ke Taman Rempah amat saya hargai.

December 05, 2008

Sakit.

Dari jauh...saya terdengar jururawat memanggil nama saya.

"Ye kak?".

"Dik, kad ni tak boleh guna lagi. Invalid."

Saya senyum, angguk dan berterima kasih pada jururawat itu.

Kad ING. Dah tidak boleh lagi digunakan. Sudah melebihi umur yang ditetapkan.
Saya sudah besar...dewasa.

Kali terakhir saya guna kad itu tiga tahun yang lalu. Ketika itu kerap kali juga berjumpa tabib. Hampir tiga tahun Yang Maha Penyayang memberikan kesihatan yang amat baik pada saya. Alhamdulillah.
Hari ini...baru saya tersedar daripada mimpi yang indah.

Saya bermuhasabah diri.
Saya akan terlepas sedikit demi sedikit tanggungjawab daripada ayah.
Saya hitung-hitung amalan, ibadah, akhlak saya selama saya hidup ini.
Masa lapang saya. Ilmu yang dituntut...

Segala ujian yang ditetapkan olehNya buat saya. Macam tak percaya saya boleh lalui semuanya.
Memang benar kata si haruman syurga, " Sekarang, kita semua dah besar."

Setiap kali usai solat, saya bermohon...

Ya Allah, jangan Kau tinggalkan daku seorang diri dimuka bumiMu ini.

December 04, 2008

Solat.

Sekali lagi. Saya mendengar Si haruman bercerita mengenai tentang kursus yang dihadirinya saat ini. Orang-orang disana menjadi topik utama perbualan kami. Sangat sedih sebenarnya...apabila seramai 28 orang yang menghadiri kursus tetapi hanya 5 orang sahaja purata yang solat setiap hari. Mana mungkin uzur lama sangat, bukan?

Ramai dah tidak ambil peduli tentang solat mereka...tetapi kami berdua yang gusar mereka-mereka itu tidak menunaikan kewajipan mereka. Sibuk tentang mereka disekeliling kami tidak bersolat.

Kata saya mengenai apa yang Si haruman syurga cerita, "Alhamdulillah kita lihat mereka dengan mata hati kak. Allah nak tunjuk pada kita contoh-contoh buat diri. Yang baik ikut, yang sebaliknya ambil iktibar. Doakan mereka kak."

Tidak berniat hendak mengata orang tetapi hakikatnya, majoriti yang menghadiri kursus tersebut sudahpun berkahwin, umur sudah meningkat, dan yang mengandung pun tidak solat. Aduhai... Si haruman syurga sudah bersangka sehabis baik pada mereka tetapi entahlah.

Pengalaman saya yang pernah dikelilingi oleh mereka-mereka yang tidak solat suatu ketika dahulu...jaga solat serta ibadah kita sebaik mungkin, nasihati mereka secara halus seperti bertanya sudah tunaikan solat atau belum (bertanya bila berdua dengannya) dan doakan mereka.

Mereka-mereka ini amat melihat kita sebenarnya. Tanpa kita disedari.


Sangat berharap agar...solatku dapat mencegah diriku daripada perbuatan keji dan mungkar.

December 01, 2008

Dipuji.

Saya selalu juga ternanti-nanti komen daripada orang yang saya hormati, Orangmuda. Siapakah gerangan nama sebenar ukhti? Ingin sekali ku mendekati dirimu yang berhati mulia itu. Sudikah ukhti muslimah hatiku? Boleh kan? Terima kasih tidak terhingga ku ucapkan atas kebaikan, ketulusan hati dan kesudian dalam memberi diri ini kata-kata semangat serta nasihat. Sesungguhnya, saya amat menghargai itu semua. (:

Terdiam saya ketika membaca komentar muslimah dari pulau temasik itu.

Ucapan seorang muslim apabila dipuji:

"Ya Allah, janganlah Engkau azab diriku kerna apa yang mereka ucapkan. Ampunilah dosa-dosaku yang tidak mereka ketahui."

HR Bukhari

Terimas Kak Izzati atas ingtannya.

Bedebar-debar saya sebenarnya menanti kehadiran 1430H.

Rezeki.

Sejak akhir-akhir ini. Saya selalu berfikir tentang rezeki saya, yang telah ditetapkan olehNya. Sangat bersyukur sebenarnya.

DizinkanNya menuntut ilmu. Diberi kesihatan yang baik. Negara yang aman. Ibu ayah yang perihatin. Teman-teman yang saling lengkap-melengkapi dalam diam ataupun yang tanpa disedari. Allahu Allah.

Baru-baru ini. Saya sembang-sembang bersama si haruman syurga.

Saya bilang, "Saya ada doakan untuk akak, Kak Zai serta mak long kerna mempermudahkan urusan saya dalam mencari ilmu."

Diam sahaja dia. Senyum.

Sambung saya, "Doa saya...agar Allah swt murahkan rezeki serta mempermudahkan segala urusan dunia dan akhirat semua."

"Alhamdulillah. Terima kasih.", balas dia.

"Tapi kak. Rezeki itu bukan sahaja dari segi harta benda je kan? Nikmat sihat, dapat belajar, anak-anak yang soleh juga rezekikan?"

Dia angguk.

"Jodoh itu juga rezeki kak.", kata saya lagi.

Dia tersenyum manis.

Iya. Semoga sabar menanti jawapan daripada si dia wahai haruman syurga.

Buat Mak Long serta Kak Zai, terima kasih kerna menjaga saya dengan baik semasa saya sedang jauh daripada keluarga.
Ibu ayah...terima kasih juga atas pengorbananmu serta doa yang tidak pernah putus-putus selama ini.

Buat Mal...doa buatmu sentiasa ada selagi diri ini masih bernafas. Semoga dirimu tenang-tenang disana.

Buat diri, jalan mujahadah itu susah tapi indah.