December 25, 2011

Mozaik.


"Kupilih perkataan 'Mozaik' menggantikan 'Bab', kerana hidup ini bagai mozaik yang harus disambung-sambungkan."


"Setiap peristiwa di jagat raya ini adalah potongan-potongan mozaik. Terserak di sana sini, tersebar dalam rentang waktu dan ruang-ruang. Namun, perlahan-lahan ia akan bersatu membentuk sosok seperti montase Antoni Gaudi. Mozaik-mozaik itu... akan membangun siapa dirimu dewasa nanti. Lalu apa pun yang kaukerjakan dalam hidup ini, akan bergema dalam keabadian..."

"Maka berkelanalah di atas muka bumi ini untuk menemukan mozaikmu!"
Andrea Hirata,
Sang Pemimpi. 



Nota kaki: Dua ribu dua belas. Bismillah. 

Bahagia.



Saya sesat ke rumah pengantin lelaki.
Tetapi, jauh di sudut hati berdu'a,berharap.
Agar saya sampai di sana bersama dengan rombongan yang bertandang.
 
Dan,Alhamdulillah. Dimakbulkan-Nya permintaan kecil saya. ^^
Selamat pengantin baru Kak Aish dan pasangan!
:)
Nama saja sudah duduk di Pekan Sate hampir dua belas tahun,tetapi saya bukan arif sangat di tempat sekitar sini.  
Apa-apa pun, akhir tahun ini ramai teman yang mendirikan masjid dan telah sempurnalah sebahagian iman mereka.  Moga mereka terus berusaha untuk menjadi orang-orang yang bertakwa.
Saya ucapkan tahniah dan moga Allah berkati keluarga yang baru di bina dan akan lahirlah zuriat yang soleh dan solehah. Bagi teman yang telah bertunang dan akan bertunang, di du'akan agar urusan seterusnya di redhai dan dipermudahkan Allah
Seterusnya buat teman yang akan mendpat cahaya mata, moga anak yang bakal lahir nanti menjadi penyejuk mata buat kita. Bermuhasabah diri ini usai menonton video. (Bimbinglah kami ya Rabb)
Salam cinta daripada saya,juga anak-anak (moga begini akhirnya) baru yang akan datang ke dalam hidup saya,sedikit masa lagi.
 Nota kaki: Rahmati hidup kami,Ya Illahi.

December 07, 2011

Dua enam.


Cinta yang sejati ialah 
cinta yang tidak bertambah kerana kebaikkan 
dan tidak berkurang kerana keburukan. 





Buat ibu,ayah.
Alhamdulillah atas masjid yang dibina selama ini.
Moga dalam lindungan Allah selalu.
Mohon du'a yang berterusan buat anak-anakmu.

Nota kaki: Dua lima.

December 06, 2011

Cuti.

Selamat buat persiapan darjah satu,anak-anak.
Empat hari bercuti,akan dimanfaatkan sebaiknya. Insya Allah.


*Jumaat.


Suasana dalam kelas.



Rumah mereka.


Nota kaki: Alhamdulillah,ada kerja sekolah.

November 23, 2011

Takut.


Pada hari itu sahabat-sahabat karib: 
setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, 
kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa 
(iman dan amal salih).

- Az-Zukhruf:67 -



Saat ini,saya takut memikirkan tentang itu.

Moga DIA,menenangkan...



Sebab Dia Adalah Sahabat.

Dia adalah yang Allah beri kepadaku,
walau yang mencarinya adalah aku,
maka dia adalah hadiah,
mustahil sekadar dilempar begitu.

Biarlah dia berbicara hanya sedikit,
Biarlah dia berjauhan,
Biarlah kadangkala ada salah sangkaan,
Biarlah ada waktu dia melukakan,

Sebab dia adalah sahabat,
maka aku tidak pernah menghiraukan.

Mengira bahagia-bahagia yang wujud bila dia ada di sisi,
itu sahaja sudah melebihi dunia dan segala isi.

Kalau dia tiba-tiba menyimpang,
aku adalah yang akan menghulurkan tangan dan tidak berjauhan,
Kalau aku adalah yang tersungkur,
aku akan segera bangkit agar dia tidak kususahkan.

Sebab dia adalah sahabat,
dan aku tahu sahabatku adalah manusia,
maka aku hormati kekurangan yang ada,
dan aku besar-besarkan kelebihannya,

Hanya iman yang mampu melestari hubungan ini,
mengekstensi hingga ke syurga nanti.
Sebab dia adalah sahabat,
mustahil aku mahu berada di syurga tanpa dia di sisi.


  -Hilal Asyraf-


Nota kaki: Terus belajar.

October 27, 2011

Suka.



Yang utama dan mulia + Saya = Suka!

Mal?
;)

Nota kaki: Moga kita, menjadi orang kaya yang beriman. Ameen.

October 15, 2011

Sedekah.

Baru-baru ni,di sekolah saya ada buat kutipan untuk Somalia.

Saya bagi tahu kelas...

"Teacher nak minta derma pada semua buat kawan-kawan kita di Somalia.
 Kesian mereka nak makan makanan yang berkhasiat,tak dapat. Sayur,buah-buahan.
Air putih,nak minum pun susah nak jumpa. Kesian tak pada mereka?"

"Kesian!!!"

"Selain tu, kita selalu doakan buat kawan-kawan kita kat sana. Dan duit derma yang kamu beri nanti,akan ada uncle dan auntie bawa ke Somalia.Insya Allah."

Keesokkan harinya.

"Teacher! Saya bawa duit. Teacher tolong bagi tau uncle dan auntie tu, sepuluh ringgit ni satu daripada kakak dan satu lagi daripada saya. Kami guna duit raya sendiri,teacher." Cerita dia penuh semangat sambil mengeluarkan not dua puluh ringgit daripada dompetnya yang comel tu.

"Okey.Alhamdulillah. Terima kasih,moga dimurahkan rezeki oleh Allah selalu."


Beberapa minggu kemudian.

"Teacher. Hari tu saya ada derma untuk Somalia. Sepuluh ringgit. Siapa yang bawa derma saya ke sana teacher?",tanya anak gadis yang akan ke darjah satu tahun hadapan,insya Allah.

"Alhamdulillah. Ada uncle dan auntie tu tolong bawakan derma kita."

"Teacher rasa,derma saya dah sampai, tak?"

"Insya Allah. Akan sampai nanti. Sebab uncle dan auntie sedang mengumpul derma daripada orang lain."

Dia semacam berpuas hati dengan jawapan saya.


Aduhai anak-anak,macam teacher kamu ni  kenal rapat je dengan orang perantaraan antara kita dengan orang di Somalia.

Nota kaki: Soalan anak-anak. Kadang-kadang tak terjangka!

Bunga.

Saya ada menampal bunga untuk hiasan kelas.

Setelah siap dihias, guru besar bertanya..."Tak takut rosak,budak langgar?"

"Insya Allah. Tak. Sebab saya sudah ugut mereka." Canda saya.

Dalam kelas. "Anak-anak. Siapa yang langgar bunga teacher,teacher akan minta lima ringgit pada orang tu."

Amaran keras saya pada anak-anak di sesi pagi mahupun petang.

Pada suatu pagi.

Saya terlihat ada sekuntum bunga saya sudah pun terkoyak. Usai circle time. Dengan wajah yang berpura-pura serius...

"Kelas. Ada bunga teacher yang terkoyak. Siapa rasa dia yang buat,baik orang tu mengaku."

Ada di antara mereka bingkas bangun dari tempat duduk,mara kehadapan kerna mahu melihat-lihat bunga mana yang koyak.

Kelas pagi itu sunyi sepi. Tiada yang mengaku.

" Baik mengaku,kelas. Teacher tak nampak. Tapi Allah dah nampak. Lagi pun teacher tak marah pada siapa yang mengaku."

Sunyi lagi.

Saya menahan gelak ketika melihat telatah mereka. Rata-rata mendiamkan diri.

Setelah beberapa minit,ada pelajar yang mengangkat tangan dan bersuara,
"Betul ke teacher tak marah kalau orang tu mengaku?",tanya dia sambil mengaru-garu kepalanya.

"Insya Allah. Tak."

"Saya yang buat teacher. Semalam saya main lari-lari. Pastu terlanggar." Terang dia dengan panjang lebar.

Saya renung dia. Gembira sebab dia berani buat pengakuan berani mati tu.

"Okey. Lain kali,hati-hati. Dah mengaku salah,kena buat apa dengan teacher?"

"Saya minta maaf,teacher."

Saya cair,sudah!

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
`Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci lagi bersih), maka para ibubapalah yang mencorakkan mereka sama ada menjadi seorang Majusi atau Nasrani'.

Dan kami selama tiga jam bersama dengan mereka disekolah rasa tidak puas untuk memberi warna dan corak yang terbaik buat mereka.




Nota kaki: Anak saya kelak,bagaimana keadaannya?

September 11, 2011

Kemenangan.



Mereka, sebelum bercuti raya.


 

Pertama kali, dapat pulang awal ke kampung
dan dapat nikmati takbir raya di sana.



 Pakcik ni merupakan adik arwah atuk. Makcik-makcik disebelahnya pula,sepupu ayah. 
Cerita ayah masa kecil dulu, jika mereka pulang ke kampung, 
pasti mereka akan bermanja dengan arwah atuk. 
Sehingga ayah berasa sedikit cemburu kerna 
arwah atuk sangat tegas orangnya dengan anak-anaknya.
Alhamdulillah,setiap kali lebaran,ayah pasti membawa kami beraya ke rumah saudara-mara ayah.
Terima kasih ayah,kerna menagajar kami agar terus menyambung silaturahim.




Saya bisik pada atuk, "Duit raya atuk daripada saya, tak sebanyak ibu beri pada atuk."
Atuk senyum,dan mengucapkan terima kasih. 
Tapi saya sedar,bukan wang ringgit yang atuk harapkan. 
Kepulangan kami sudah buatkan atuk gembira.
Moga Allah memberikan kesihatan yang baik buat atuk.


 Empat Syawal,ibu ayah saya sudah pun mula berkerja.
Aktiviti kami,orang-orang muda pabila sudah berkumpul.



Okey,saya rindu mereka.
Selamat belajar kembali sahabat-sahabat.



Cerita Syawal, sangat indah. Alhamdulillah.
Buat adik-adik yang akan kembali ke sekolah, moga terus gembira berada di taman-taman syurga dan moga diterangkan hati oleh-Nya untuk menerima ilmu. Ameen!
Buat saudara-mara yang telah berkunjung ke rumah pada Syawal ke empat dan Syawal ke dua belas,terima kasih daun keladi kerna sudi ziarah-menziarahi.
Moga Allah merahmati semua dan membalas segala kebaikan yang telah diberikan.Ameen.


Muhasabah mengenai Ramadhan lalu dan diri.


Nota kaki: Salam Syawal 1432H!

August 21, 2011

Hari-hari akhir.

Rasulullah saw. pernah bersabda;

“Ya Allah
aku memohon kepada-Mu kebaikan seluruhnya
sama ada pada masa sekarang mahupun pada masa akan datang.
Sama ada yang aku ketahui dan yang tidak aku ketahui.
Aku berlindung kepada-Mu dari keburukan seluruhnya
yang sekarang dan yang akan datang,
yang aku ketahui dan yang tidak aku ketahui.”

(HR Ibnu Majah)

Hati yang terbujuk.



"Sabar itu ertinya kamu tak mengadu pada seseorang,
tak bergantung pada sesuatu sebab,
tak membenci adanya musibah
ataupun menyenangi hilangnya."

[Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani r.a.]

Ertinya sabar.




Tentang,
memberi dan menerima.

August 12, 2011

Pertengahan.

Sudah hampir pada pertengahan Ramadhan saya kira.
Pertengahannya dipenuhi dengan pengampunan daripadaNya.
Tidak terlambat saya rasa untuk mengucapkan selamat berpuasa.

Satu.
Jadual minggu ke dua puasa. Berubah. Cuba datang awal ke sekolah. Buat apa yang patut,buat apa yang tak sempat nak dibuat di rumah.
Keadaan dirumah sudah tak boleh duduk rehat je bak kata ibu saya.
Selalu macam tu la,akhir-akhir Ramadhan makin banyak tempahan yang diterima.
Nak tak nak kena buat.

Ibadah juga perlu di jaga supaya kita dalam lindungan dan redha Allah selalu.
Tu nasihat ibu. Pandai-pandai nak bawa diri,susun jadual sendiri. Masing-masing sudah besar.

Dua.
Kondisi ibu kurang sihat sebenarnya. Kaki ibu sakit dan perlu solat di atas kerusi. Saya pula risau tak sudah.
Sedih lihat ibu jalan perlahan-lahan camtu.
Moga Allah beri saya kekuatan untuk menjaga ibu.

Tiga.
Anak-anak di sekolah, saya kira terkawal juga sepanjang hampir dua minggu berpuasa. Ramai yang masih dan ada yang nak mula belajar puasa.

Seorang teman beritahu saya,ayah Adil datang sekolah,dan memberitahu kami. Jika Adil jatuh pengsan,baru boleh bagi minum air.
Macam-macam ya cara didik anak.
Ayah siap pegang rotan masa saya payah nak bangun sahur dulu.
Bila dah besar macam ni,alhamdulillah saya suka bangun sahur.

Dalam bulan Ramadhan ni,macam-macam soalan yang saya dapat daripada anak-anak.

"Teacher. Kalau kita puasa. Tak boleh tengok orang perempuan ya?"

"Teacher. Kalau kita terbuang angin. Puasa kita batal tak?"

"Teacher. Betul ke masa solat kena pakai cantik-cantik,wangi-wangi?"

"Teacher. Puasa tu,kita tak boleh makan. Tak boleh minum. Betul ke?"

"Kalau tak puasa tak boleh raya ke Teacher?"

Saya selalu tahan gelak bila dengar soalan mereka.
Mereka masih bersih lagi.
Mengajar enam tahun tentang buah-buahan,ada yang sudah mula tergoada.
Bayangkan air kelapa dan tebu yang menyegarkan.
Buah pisang yang berbau wangi,oren yang manis dan macam-macam lagi.
Mujahadah mereka nak belajar puasa. Takpe perlahan-lahan. Moga berjaya hujungnya nanti anak-anak.

Empat.
Aktiviti saya masa bulan Ramadhan ni juga,perlu biasakan lidah saya dengan selawat-selawat yang jarang saya dengar iramanya.
Kerna nanti ada Iftar dan khatam Quran di sekolah.
Du'akan sukses majlis kami nanti.

Lima.
Hujan makin lebat. Bagaimana keadaan mereka yang berniaga di bazar?

Nota kaki: Tetap terus berdu'a.

July 10, 2011

Permulaan.





Alhamdulillah.
Seminggu sudah Report Card Day berlalu.
Sebagai orang baru dalam dunia ni,banyak yang saya pelajari.

Esok-esok,bila sudah menjadi seorang ibu [moga dipermudahkan-Nya].
Masa untuk anak juga perlu ada [terima kasih buat ibu saya terutamanya dan ibu anak-anak saya].
Mengaji bersama,banyak perkara yang perlu dilakukan bersama dengan anak sebenarnya.

Apa teman-teman dan saya perhatikan, anak-anak yang kurang masanya bersama ibu dan ayahnya amat sukar untuk terang hatinya.
Sama ada menerima ilmu mahupun mendengar kata.
[tetapi bukan semuanya]

Walauapapun,anak-anak itu adalah anugerah daripada Yang Maha Penyayang.
Sama-sama kita mencorakkannya dengan acuan Islam terutamanya.
Kenalkan mereka kepada addin yang amat indah ini.

Buat anak-anak,terima kasih kerana banyak mengajar diri ini dalam diam.
Juga,saya dapat melihat kerja Dia yang amat hebat dan membuatkan saya bermuhasabah diri.
Syukur,dapat bertemu dengan mereka. Alhamdulillah.

Moga kita sentiasa mensyukuri kebaikkan dan meredhai kekurangan mereka yang berada di sekeliling kita.


Nota kaki:Sembilan julai-moga Allah redha!

June 25, 2011

Jawi.

"Penggal dua. Saya mahu jika boleh, pelajar-pelajar enam tahun sudah boleh membaca jawi. Tahun depan mereka darjah satu. Takut susah pula mereka."

Berderau darah saya apabila guru besar berkata begitu. Matanya jatuh ke arah saya.

"Boleh?",tanyanya pada saya.

Saya diam seribu bahasa. Berfikir bagaimana kaedahnya. Bagaimana mahu ajar mereka.

Tapi,memang saya ingat. Seorang teman sekelas dalam tingkatan lima.
Waktu itu,dia memang tidak tahu membaca jawi.
Tanyalah dia tentang apa pun,insya Allah dia masih mampu menjawabnya tapi bukan bacaan jawi.
Teman saya hanya mampu menggelengkan kepala jika ustazah minta dia membaca jawi.

Adakah anak-anak saya begitu kelak?
Allah Allahu...biarlah mereka boleh serba-serbi.

Selalu tertanya-tanya,bagaimana dulu zaman kanak-kanak, teman-teman dan saya boleh membaca jawi.

Du'akan dipermudahkan-Nya,juga diberi ilham oleh-Nya.


Nota kaki: Belajar susun jadual.

June 18, 2011

Kerenah mereka.

Satu.

Saya terima es-em-es daripada seorang sahabat,

"Kirim salam,Hakimi."

Lalu saya sampaikan pada Hakimi dan mengajarnya dengan menjawab, "Wa'alaikum salam".

Naik cuti sekolah hari itu,

"Saya rindu Hakimi!",kata guru bahasa Inggerisnya.

"Saya pun tak sabar nak tengok Hakimi",kata guru besar pula.

Kata guru kelasnya pula...Dia sahaja yang tahu betapa saya rindu akan anak-anak.

Tapi,ramai yang sayangkan Hakimi. Alhamdulillah.

Satu petang,selepas asar...

"Teacher, kamu rasa huruf Y,is for what?" ,tanya guru bahasa Inggeris kelas saya kepada saya.

"Y is for yacht...yo-yo."

"Lagi?",tanya dia.

"Apa dan kenapa?",balas saya.

"Tahu,ada anak kamu yang tulis Y is for You Tube! Siap ada kotak lagi untuk perkataan tube."

"Haha. Ya Rabbi. Siapa tu?"

"Hakimi."

Pecah gelak kami masa mesyuarat petang tu.

Selalu guru besar bilang,perangai anak-anak biasanya akan dipengaruhi oleh gurunya.


Dua.

"Teacher,abang Allesya nak juga pemadam tiga segi yang teacher bagi semalam",kata anak itu sambil berlari ke arah saya.

"Ha? (saya ketawa kecil) Mana boleh Allesya. Cakap dengan abang, kalau abang nak. Kena sekolah sini. Boleh?",jawab saya.

"Hehe. Boleh. Nanti Allesya cakap dengan abang Sya."

Macam-macam kerenah anak-anak ni.
Pemadam tiga segi itu, saya beri pada anak-anak enam tahun kerana telah berkelakuan baik dan sentiasa bersusaha menyiapkan kerja rumah.
Alhamdulillah. Sudah penggal dua saat ini.


Tiga.

"Muhammad sudah sampai depan pintu tadi. Tapi tak nak naik sebab hari ni ada art and craft",kata guru besar.

"Ye ke puan? Ingat tak datang sebab saya ada tinggi suara dengan dia semalam",balas saya.

"Kenapa?"

"Tak siap kerja rumah dan buku tu tertinggal pula di rumah."

Situasi dalam kelas.

"Muhammad tak bawak buku,sebab takut teacher marah...tak siap homework."

"Habis tu,sekarang ni teacher tak marah?,"tanya saya balik.

Saya akan denda mereka buat kerja sambil berdiri jika tidak siapkan kerja rumah. Jarang saya marah tiba-tiba.

Dan anak itu sebenarnya jarang buat perangai. Tetapi,hari tu...dia yang kena.
Maaf ya Muhammad.

Moga Muhammad menjadi Muhammad yang sebenarnya. Ameen.


Empat.

"Mal mula puasa esok",kata ibu.

"Amboi. Orang ajak puasa kat rumah tak nak."

Tapi,biasanya begitu lah. Saya pun suka berpuasa masa di sekolah. Lain benar kalau puasa di rumah. Kalau di sekolah tidak la ingat makan dan minum walaupun penat seharian.

Cuti sekolah lalu. Rumah saya penuh seketika. Maksu sekeluarga turun sini,adik-adik semuanya ada di rumah. Memang saya amat syukuri nikmat tersebut.
Moga ada rezeki lagi untuk kami berkumpul semula. Insya Allah.


Nota kaki: Tiga julai, sama dengan satu sya'ban. Allahu Allah.

May 15, 2011

Sudah pertengahan tahun.

Satu.
Hampir dua minggu Hakimi masuk kelas saya.
Semuanya dipermudahkan Allah. Alhamdulillah.
Tak tahan tu bila dia nangis, dia akan sebut...

"HELP! HELP! HELP!".

Sebiji macam dalam kartun. I'ya,dia suka tengok kartun sebab itu bahasa Inggerisnya sangat baik berbanding teman-temannya. Suka saya apabila Hakimi mengikut saya membaca Quran. Suaranya sedap walaupun selalu buat muka poyo dia.

Buat anak-anak lima ibnu khladun. Terima kasih banyak kerna menerima kehadiran Hakimi seadanya.

Dua.

Yang utama dan mulia sudah habis belajar. Yeay! Tumpang gembira untuk dia dan moga dia akan mendapat menyambung pengajian semula.
Apa yang dia buat cuti ni? A'haa...sudah belajar duduk dapur. Rajin membuat kek juga. Kadang-kadang penat melayan kerenah dia kerna dia kurang pengetahuan dalam bidang saya ni. Bulat mata ibu bila dia gunakan whisk untuk bancuh biskut dan bukannya paddle. Macam-macam ya kamu dik. Tapi chilled cheese cake yang dia buat kelmarin sangat enak. Makin sihat la saya. Du'akan moga kami menjadi anak yang solehah.

Tiga.
Tidak silap saya, hari ini sebelas jamadil akhir.Ertinya apa? Lebih dua bulan lagi Ramadhan akan bersama kita. Mudah-mudahan ada rezeki kita untuk bersama dia. Bagi kami sekeluarga,sudah mula membuat contoh-contoh biskut yang akan diedarkan pada teman-teman. Moga juga, Dia permudahkan urusan kami.

Anak-anak di sekolah pun gembira bila saya kabarkan kepada mereka. Ramadhan akan tiba tidak lama lagi. Alhamdulillah!

Ya Illahi, satukanlah hati-hati kami serta suburkanlah cinta kami kepada-Mu dan diantara kami sendiri. Ameen.

Nota kaki: Dalam cinta!

April 23, 2011

Cerita.

Tukar bidang.
Bukan kehendak saya, tetapi ketetapan Dia.
Cinta saya terhadap dunia yang telah dipupuk oleh ibu sejak kecil tetap tidak berubah,insya Allah.

Autisme.
Mengikut kata bondanya, anak keduanya normal. Tetapi,perangainya berubah kerna terlalu terikut dengan abang sulungnya yang menghidapi autisme Jadi,ibu dan bapa anak itu mahu si cilik mereka kembali normal seperti anak-anak yang lain,dengan izin Allah juga. Selama hampir empat bulan bersekolah,anak itu banyak perubahannya semasa di rumah. Tetapi bagi kami disini sebaliknya pula. Setelah perjumpaan antara ibu dan bapanya serta guru besar (yang agak kecil juga orangnya) minggu sudah,mereka mengambil keputusan untuk sekolahkan anak itu pada sesi petang.

Kelas.
Ertinya...anak itu akan berada di kelas saya. Ya Illahi...berat sangat amanah itu. Saya menagis dalam hati. Teman-teman disekeliling menguatkan diri saya. Mereka yakin,saya mampu lakukannya. Jujurnya,jauh di sudut hati,saya sangsi dengan keupayaan saya. Ya, Isnin ini anak itu akan mula berada di sesi petang. Debaran hati ini,Dia sahaja yang tahu. Bagaimana jika saya tidak mampu?

Berat amanah-Mu,Ya Rabb.
Bagi saya,cukup sudah anak-anak yang ada sekarang.
Mereka dapat mengubati jiwa saya,memberi saya ilham juga kekuatan hampir setiap hari.

Tetapi anak baru ini berbeza,sangat berbeza.
Moga Dia permudahkan, anak itu berubah dan saya juga berlapang dada untuk menerimanya.
Bismillah.

Nota kaki: Hakimi,selamat datang ke lima ibnu khaldun!

April 14, 2011

Coklat.


"Eh,tak pe ke awak bagitahu cara-cara buat coklat pada dia?", tanya seorang teman.

Erkk. Saya rasa bersalah besar tiba-tiba.

Tak pe. Dia tanya secara rambang. Saya beri jawapan seadanya.

Usah bimbang tentang rezeki pesan bonda, walau apa pun, rezeki kita Allah sudah tentukan. Walaupun kita menjual produk yang sama,rezeki kita tetap ada.

Wahai anak,usar gusar.

Nota kaki: Flowers are red.

April 04, 2011

Nota hati.


Maafkan kekurangan kami sebagai ibu bapa, moga dengan kasih sayang kami, apa yang kalian kenang nanti adalah sebuah kesungguhan.

Sesungguhnya kami tidak pernah mengalah!

Berdebar saya,apabila seorang ayah berkata begitu.

Malam hujung minggu yang lalu. Saya keluar makan bersama dua orang teman lama. Seorang teman membuka cerita apabila dia terlepas marah dengan seorang pelajar praktikal. Tinggal sebumbung membuatkan dia berasa bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan pelajar-pelajar tersebut.

Orangnya tidak membuat banyak masalah sewaktu kerja. Cumanya, ketika hujung minggu. Dia berkata mahu pulang ke rumah makcik. Dua minggu berlalu,ada yang mula buka mulut. Bahawa ada orang lelaki,muda yang hantar pulang dia ke rumah.

Bila ditanya secara baik. Dijawabnya,jangan kongkong saya. Nak tak nak. Kena bagi tahu ibu bapa pelajar tersebut. Menangis la dia kerna takut dibelasah oleh abangnya. Jika dia dimarahi oleh ibunya,dia tidak ambil pusing sangat.

Dia memang dah serik kena marah. Teman saya ni,bertanya lagi...apa yang kamu suka buat?

"Keluar,lepak dengan lelaki."

Tertunduk saya.

"Dia budak sekolah pondok. Darjah satu hingga tingkatan lima sekolah pondok. Ibu ayah dia yang suruh mengaji kat sana. Ibu ayah dia nampak baik. Tapi haritu,pakcik dia serang rumah bila ditanya kenapa tak halang pelajar tersebut jika nak keluar rumah. Alahai..dah besar panjang. Lagi pun hujung minggu memang aktiviti bebas."

Lancar teman saya bercerita.

"Saya tak suka sekolah sana. Ibu asyik sibuk bila cuti sekolah. Pergi program sana sini. Saya rasa kurang kasih sayang ibu."

Pelajar tersebut diberhentikan daripada meneruskan latihan industrinya.

...

Saya diam.

Adik. Tahukah kamu,ibu saya seorang yang sibuk juga. Masa sekolah rendah. Pagi-pagi lagi ibu ayah sudah keluar rumah untuk mengelak kesesakkan lalu lintas yang maha hebat di sini? Hujung minggu baru berjumpa.

Saya tak berani nak cakap. Saya tidak berada di tempat tuan punya badan. Tapi buat saya benar-benar muahasabah diri. Salahkan ibu ayah kita seratus peratus? Benarkah kita kekurangan kasih-sayang?

Allah sahaja yang tahu. Cuci hati kita balik. Maafkan ibu ayah kita. Siapa kita mahu menyalahkan mereka. Cukuplah mereka membesarkan kita. Diberikan kita pendidikan. Kita semakin meniti dewasa sepatutnya dapat berfikir baik dan buruk. Sebelum buat sesuatu ingat ibu ayah. I'ya,mudah bukan unduk berkata-kata? Saya sendiri,hingga saat ini,sedang bermujahadah untuk menjaga ibu dan ayah. Masih belajar juga. Bukan senang hendak menjaga hati mereka. Moga Dia lembutkan hati,penuhkan hati dengan rasa kasih sayang yang tidak berbelah bahagi anak-anak muda buat ibu ayah yang Dia anugerahi.

...

Darjah lima. Cik bik yang menguruskan saya adik-beradik untuk ke sekolah. Sebelum bas sekolah tiba,saya akan bergegas naik ke atas. Masuk ke kamar ibu dan membuka almari pakaiannya. Baju kurung ibu,saya pengang lengan bajunya. Saya kucup bajunya...dan berkata, "Ibu,kakak nak pergi sekolah. Doakan!".

Adakah saya kurang kasih-sayang?

Nota kaki
:Ya Allah, ampunilah daku dan kedua orang tuaku dan kasihanilah keduanya sebagaimana mereka mengasihiku pada waktu kecil. Ameen.

April 03, 2011

Kereta.



Bulan Januari dan Febuari lalu, saya perlu ambil Ecah untuk ke sekolah.

Satu hari...

"Semalam kereta Abi masuk klinik!",suara comel dia dari belakang kereta.

"Ha? Kenapa? Habis,balik sekolah semalam siapa ambil Ecah?",respon saya.

"Abi la."

"Abi naik kereta siapa?"

"Kereta kawan Abi."

"Ooo. Ecah,ingat lagi tak kereta kawan Abi tu warna apa?"

"Ingat! Warna hitam."

"Best tak?

"Best!"

Saya tak tahan betul kalau dengar Ecah bercakap. Macam mana tak jatuh hati.

"Okey Ecah. Lepas ni kan...kalau kereta Abi sakit lagi,dia kena pergi bengkel. Bukan klinik. Bengkel untuk kereta sakit. Klinik pula untuk Ecah atau kita yang sakit. Ecah faham?"

"Paham!", jawab dia dengan muka selamba.


Ramai teman saya yang kurang gemar apabila saya memanggilnya Ecah,tidak mendu'akan kata mereka. Saya setuju itu. Tetapi kadang-kadang saya fikir, nama panggilan yang lain membuatkan kita menjadi lebih mesra,insya Allah. Apa pun, moga Ecah menjadi hamba-Nya yang taat!


Nota kaki
: Ummi Ecah,seorang tabib.

Rindu.



Saya mula rindu adik-adik. Moga mereka dalam kondisi yang baik.
Berharap Allah sentiasa melindungi mereka.

Minggu sudah,saya tidur dalam kamar Mal.
Dhuha tadi,saya lepak di kamar Yang utama lagi mulia. Membelek buku-buku yang ada.
Moga Dia berkati rindu ini.

Moga dilapangkan dada mereka oleh-Nya untuk menuntut ilmu.
Moga juga,mereka mengingati Dia setiap detik. Ameen.

Nota kaki: Penuh harap!

March 05, 2011

Satu minggu.



Satu minggu masa yang ada sebelum dia menajadi suri orang.
Tahukah dia yang sebenarnya saya menangis dalam diam? Saya akan kehilangan teman untuk bercerita,bergurau,bergaduh dan menyanyi bersama. Saya gembira,bersykur tetapi tetap ada sedihnya. Jika teringat akan dia,mesti mengalir air mata saya.

Dua minggu sudah,saya bermain cat dengan dia. Mengecat bilik yang akan dijadikan bilik pengantin. Cuti raya Cina sebelum ini, kami membuat kek lapis sama-sama untuk kek hantaran dan akan hilang juga orang yang selalu solat berjemaah bersama saya.

Terlalu banyak kenangan zaman muda-muda dulu. Arwah ibunya mesti gembira juga. Saya yakin,arwah juga melihat kita. Mak Itam,al-fatehah buatmu. Moga makin tenang Mak Itam di sana.

Doa saya mengiringi dia. Mengharap sangat Allah redha akan semua persiapan yang telah kami lakukan.

Moga dia selamat menempuh alam rumah tangga dengan baik dan dalam bimbingan Allah selalu.

Kak Yan terima kasih atas segalanya. Puji-pujian buatMu ya Rabbi.
Buat tunang Kak Yan,yang selalu panggil saya Ilham, selamat datang ke keluarga kami.
Sila jaga Kak Yan saya dengan baik persis ayahnya menjaga dan membesarkannya hingga ke hari ini. Moga Allah rahmati selalu.

Nota kaki: Allah Allah...tak dapat bayangkan keadaan saya jika Yang Utama lagi Mulia yang mendirkan masjid.

February 06, 2011

Dunia 'baru' (i) .

Satu.

Dua tahun yang lalu...

"Busu! Abah dah tiada." Dia menangis teresak-esak sambil mendakap ayah dengan erat.

Ayah yang menenangkannya.

Saya memerhatikan dia dari jauh. Mula sebak.

Dua.

Hari ini...

Ulang tahun kelahirannya yang ke dua lima, ayah yang dicintai telah kembali kepada Penciptanya.

Hadiah yang cukup payah untuk dia terima, tetapi saya yakin. Dia amat redha dengan ketetapan itu.

Al-fatihah. Moga anak-anak mereka sentiasa mendu'akan arwah.


Dari hadith yang diriwayatkan dari Abu Hurairah ra, Rasulullah bersabda ;
" Allah Ta'ala berfirman : Tidak ada pembalasan bagi seorang hambaKu yang mukmin, jika Aku mengambil kekasihnya di dunia, kemudian ia redha dan berserah kepadaKu, melainkan syurga (balasannya)".


Nota: Dia, dua orang yang berbeza. Moga terus tabah!

January 06, 2011

Faham.


Tiba-tiba,Nazlyn peluk saya. Erat, dan saya kaget seketika. Apa yang telah saya lakukan dan apa yang si cilik itu cuba sampaikan?

Saya lupa. Mengenai kasih-sayang,cinta yang tidak berbelah-bagi. Masih,sedang dan akan terus belajar untuk menyayangi mereka kerna-Nya.

Maafkan saya Nazlyn,kerna tidak memahami pelukan Nazlyn. Moga kasih-sayang Allah sentiasa mengalir buat kita semua. Ameen.

Nota kaki: Seni memujuk,perlu saya hayati!