December 07, 2010

Dua lima.


Moga masjid yang dibina dirahmati dan semakin diredhai Allah.
Moga cinta anda berdua buat kami,kekal hingga ke syurga.

Terima kasih ya Rabb kerna menganugerahkan mereka buat kami.
Allah sahaja yang layak membalas cinta sayang,jasa pengorbanan, penat jerih, suka duka, gembira bahagia, tangisan ketawa dan segalanya daripada mereka.


Ibu ayah, amat kami dambakan du'a-du'amu agar sentiasa mengalir buat kami hingga nafas terakhir kami.
Moga kami menjadi anak soleh dan solehah serta tidak melupakan nikmat Allah yang tidak terhingga iaitu adanya ibu dan ayah.

Nota kaki: Salam satu empat tiga dua hijrah!

November 23, 2010

Aurat.


Entah mengapa kurang gemar melihat foto muslimah yang menutup aurat dengan sempurna,namun berdiri dekat denganya sebaliknya pula.

Sekadar cadangan,simpan foto-fotomu itu dengan rapi hanya buat dirimu dan teman-teman baikmu.
Sama-sama kita berusaha menjaga aurat sesama kita. Insya Allah.

Nota kaki: Bersangka baik!

November 10, 2010

Tak lurus di jalan yang lurus.



Ahli Jemaah masjid telah menunggu hampir setengah jam. Penceramah yang dijemput masih belum tiba. Anak-anak di ruang masjid telah mula membuat bising. Suasana yang sedia panas meresahkan lagi orang-orang tua yang terus menunggu dengan setia. Menunggu lama untuk mendengar ceramah agama akan mendapat pahala, begitulah agaknya pujuk hati mereka.

“Ustaz ini memang begitu. Selalu lewat,” bisik seorang ahli kariah di sebelah saya.

“Minggu dulu pun macam ni,” balas orang di sebelahnya.

“Tak mengapa. Ceramahnya semangat. Sedap didengar,” pintas seorang lagi. Saya hanya mendengar, walaupun dalam hati sudah berkira-kira untuk meninggalkan majlis. Ia telah memakan masa yang diperuntukkan. Masih banyak lagi kerja yang perlu diselesaikan menunggu giliran.

Hampir 40 minit kemudian baru penceramah datang, lengkap dengan jubah dan serbannya. Dalam ceramah yang berdegar-degar itu dia memperkatakan tentang pentingnya mengikut sunah Rasulullah. Saya mendengar sambil mencatat. Cuba menenangkan hati walaupun hati masih tertanya-tanya mengapa sunnah Rasulullah s.a.w dalam menepati janjinya dan menjaga masa tidak disentuh sekali.

Terbayang urutan sejarah bagaimana rasulullah s.a.w sentiasa datang awal ke Masjidil Haram sehingga baginda dilantik menjadi hakim untuk meletakkan ‘Hajarul Aswad’ yang gugur dari tempatnya dalam peristiwa banjir yang melanda kota Mekah. Begitu juga dengan insiden bagaimana Rasulullah menunggu hampir 3 kali seorang yang berjanji bertemu dengannya tetapi tidak datang. Rasulullah sangat menepati masa dan alangkah baiknya jika sunah menepati masa ini dilaksanakan oleh ustaz yang memakai serban dan jubah itu. Nampak lebih sempurna dan indah.

Saya benar-benar skeptis dengan lambang-lambang agama yang kosong makna. Elok juga sunah yang hendak diamalkan disusun mengikut prioriti amal (‘aulawiyat’). Ini kerana ada orang yang sangat menitik-beratkan soal kurang utama dengan meninggalkan soal yang lebih utama.

Bukan sahaja di tempat kita tetapi nun di Mekah sekalipun betapa ramai yang bertolak-tolakan (kekadang sehingga ke peringkat berkelahi) sewaktu ingin melaksanakan ibadat sunat mencium Hajarul aswad. Sedangkan persaudaraan itu lebih wajib dipertahankan berbanding amalan sunat (mencium Hajarul Aswad).

Ya, saya tidak nafikan sudah dalam berpakaian. Serban dan jubah, memang pakaian sunah. Namun kekadang orang hanya mempertahankan bentuk pakaian, tetapi tidak sunah kebersihannya. Akhirnya, masyarakat yang tidak faham mengutuk jubah dan serban yang disinonimkan dengan bau hapak dan kotor. Begitu juga sunah janggut dan misai, ada yang benar-benar iltizam membelanya tetapi kurang terurus. Tidak dirapikan apalagi disisir dengan sebaik-baiknya.

Saya pernah bertemu dengan seorang yang sangat cerewet dengan persoalan tajwid. Sering dia mufaraqah dalam solat berjemaah kerana dakwanya Imam tidak betul bacaan fatehahnya.

“Dadnya kurang tebal,” komennya satu ketika.

“Ronya tidak sempurna,” ulasannya pada satu ketika yang lain.

Begitulah, ada sahaja yang tidak kena dalam bacaan tajwid orang lain. Dia begitu teliti hampir-hampir ke arah cerewet. Namun, sayang seribu kali sayang… anak-anak perempuannya tidak menutup aurat. Anak-anak perempuannya selamba sahaja keluar rumah dengan pakaian yang terdedah, tidak pula mendapat teguran daripadanya. Dia begitu teliti tentang hukum bacaan, tetapi tidak teliti pula dalam hukum amalan.

Di satu ketika saya pernah bertemu dengan seorang yang dianggap intelektual Islam – pakar dalam istilah, bahasa dan nahu sekali gus pakar epistemologi. Pantang tersalah istilah atau huraian, dia akan menerangkannya secara terperinci. Kagum saya melihat kepintaran dan komitmennya. Tetapi saya sedikit kecewa kerana satu ketika saya dapati dia begitu longgar dalam memilih makanan yang halal.

Sewaktu heboh orang membincangkan soal logo halal dan makanan yang haram, beliau sebaliknya selamba makan di restoran-restoran yang meragukan.

“Tuan, kita patut berhati-hati.” Pernah saya mengingatkan.

“Jangan terlalu teliti. Tak merasa kita nanti.”

Saya benar-benar terkejut. Mana ketelitiannya tentang bahasa serta istilah yang ingin dipertuturkan sewaktu memilih makanan yang hendak dimasukkan ke dalam perut? Padahal Rasulullah saw seorang yang sangat fasih balaghahnya tetapi baginda juga sangat teliti dalam memilih makanan. Pernah baginda melarang cucunya memakan kurma yang disedekahkan kerana keluarga tidak boleh makan makanan sedekah. Bahkan Sayidina Abu Bakar pernah memuntahkan kembali susu yang diperoleh daripada sumber yang diragukan.

Saya masih ingat apa yang terjadi dalam majlis sambutan Maulid Nabi beberapa tahun yang lalu. Semua penceramah menekankan betapa pentingnya mengikut sunah Rasulullah dalam seluruh aspek kehidupan. Saya melihat sendiri betapa semangatnya peserta yang mendengarnya. Mengangguk-angguk, menangis dan ketawa dengan alunan kata dan intonasi suara penceramah yang terkenal.

Namun sayang sebalik sahaja selesai majlis Maulid itu sampah-sampah dan bekas minuman air serta botol-botol plastik berserakan. Hati saya jadi tertanya-tanya, di manakah sunnah Rasulullah saw yang sangat menjaga kebersihan itu kita letakkan? Ke mana perginya semangat yang meluap-luap ketika melaungkan selawat tadi?

Mengapa tidak semangat itu diterjemahkan ke dalam bentuk realiti yakni dengan membuang sampah dan sisa minuman serta makanan ke dalam tong sampah yang disediakan. Bukan kebersihan itu pernah ditegaskan oleh Rasulullah saw sebagai sebahagian daripada keimanan?

Pernah juga saya bertemu dengan seorang usahawan yang begitu mengagumi Rasulullah saw dalam bidang keusahawanan. Segala yang tersurat dan tersirat tentang sifat keusahawanan Rasulullah saw dibongkarnya.

“Bagindalah aspirasi dan inspirasi saya dalam bidang perniagaan.”

“Bila saya memberi motivasi kepada anak-anak remaja dan pelajar-pelajar yang berminat dalam perniagaan tidak lain, hanya Rasulullah s.a.w sahaja yang saya tonjolkan sebagai rol model.”

Saya begitu mengaguminya sehinggalah semasa bermusafir bersamanya saya lihat dia begitu culas dengan solat. “Kita perlu berhenti untuk solat jamak qasar,” pinta saya.

“Tak boleh qada sahaja ke?” balasnya.

Saya menggeleng-gelengkan kepala. Lupa agaknya dia tentang sunah Rasulullah yang begitu ‘punctual’ dalam menjaga waktu solat. Agaknya dia terlalu asyik meneliti sunah Rasulullah saw dalam bidang ekonomi terlupa persoalan asas dan teras dalam Islam yakni solat.

Bukan sahaja lewat solat, tetapi tidak solat. Ya, sunah dalam perniagaan memang diikutnya, tetapi bagaimana sunah dalam menjaga solat? Ini mengingatkan saya kepada kecenderungan masyarakat yang melihat Islam pada nilai ekonomi (muamalat) dan aspek nikah kahwin (munakahat) sahaja tetapi lupa pada soal ibadat dan jinayat (perundangan).

Sahabat saya pernah bercerita tentang seorang kenalannya yang kuat berzikir, lemah lembut tutur katanya.

“Dia betul-betul lemah-lembut dan kuat berzikir.”

“Baguslah kalau begitu. Apa masalahnya?’

“Masalahnya, apabila dia memandu. Lajunya macam pelesit. Menggeletar aku dibuatnya. Dia berkata orang yang ingat Allah, tidak takut mati!”

Saya tersenyum. Memandu melebihi had laju sepakat para ulama mengatakan bahawa itu satu dosa. Jadi, itu bukan sunah. Berani mati di jalan yang lurus (di lebuh raya) amat beza dengan berani mati ‘di jalan’ yang lurus (mati syahid, mati dalam iman dan ibadah kepada Allah). Sunah berzikir dan bertutur dengan lemah-lembut memang baik, tetapi jangan abaikan keselamatan nyawa sendiri dan orang lain ketika memandu kereta.

Ada pula lelaki hidung belang yang beria-ia hendak berpoligami kononnya untuk mengikuti sunah nabi, tetapi isteri masing-masing membuka tembelang perangai mereka yang tidak solat, tidak mendidik anak-anak, kasar, pemarah dan culas dalam memberi nafkah serta mendidik anak-anak.

Semua kisah di atas saya paparkan sebagai peringatan bersama tentang betapa lemahnya kita dalam mengikut sunah Rasululllah saw. Kita cenderung melihat di sudut-sudut tertentu yang kita sendiri punya kepentingan. Al Hasil, sering kali kita dapati dorongan memakan makanan sunah lebih hebat diuar-uarkan berbanding dengan mengajak melaksanakan sunah-sunah yang lebih besar dan afdal.

“Ayah, jika minum susu kambing kita boleh jadi baik. Ini minuman sunah.”

“Tapi jangan hanya ikut sunah minum susu kambing sahaja, ikut sunah yang lebih utama daripada itu, “ balas saya.

“Apa dia?”

“Bangun solat Subuh, tinggalkan perkara yang sia-sia.”

“Makan kismis ini yang didoakan ini bagus ayah. Fikiran kita jadi tajam. Ini juga makanan sunah.”

“Ya. Tetapi berusaha menelaah pelajaran dan memberi tumpuan ketika belajar adalah lebih sunah.”

Anak saya terdiam. Sikapnya memilih yang senang-senang dan enak-enak sahaja daripada as sunah saya perbetulkan. Memang untuk beramal, kita boleh pilih yang mudah-mudah dan senang-senang dahulu tetapi kita mesti tahu dan berusaha untuk mengamalkan yang lebih utama. Mana yang ‘sesuai’ dengan selera dan kecenderungan kita, itu yang diutamakan. Manakala yang perlukan kita bersusah payah serta mujahadah kita pinggirkan… seolah-olah itu bukan sunah.

Minum susu kambing misalnya memang sunah, ya itu ada kesannya dalam pembentukan peribadi kita,namun tentulah meninggalkan mengumpat dan memfitnah, bermujahadah melawan nafsu, membaca Al Quran dan mendirikan solat lebih utama dalam usaha kita untuk memperbaiki diri. Ya, tidak ada salahnya menguar-uarkanlah makanan sunah yang boleh membentuk hati dan peribadi, tetapi jangan terlupa aspek-aspek lain yang jauh lebih penting seperti menjaga pergaulan, mengamalkan cara hidup bersandarkan syariat dan lain-lain.

Jadi, persoalannya betapa ramai orang yang mendakwa dan merasakan dia telah mengikut sunah padahal apa yang sebenarnya diikutinya hanyalah hawa nafsu sendiri? Inilah gara-gara tidak tulus mengikut jalan yang lurus!

Kredit: Genta Rasa.

October 23, 2010

Indah.

"Ayah. Apa la monorel kat kampung ayah rosak.", usik saya.

"Tak tahulah. Macam membazir pun ye. Cukuplah sampan yang ada. Boleh juga nikmati alam sekejap.",balas ayah.

Ayah orang sana. Dilahirkan dan dibesarkan disana. Saya juga, suka balik sana...balik kampung. Sayang saya pada kampung amat tinggi walaupun masa kecil sangat takut [wooo] untuk balik ke kampung. Rumah-rumah kampung bagi saya menakutkan.

Macam biasa, saya tetap bersyukur sebab ada kampung. Dapat merasa juga bagaimana kehidupan di kampung. Zaman kanak-kanak. Bila semua sepupu berkumpul,kami akan bermain pemainan teng-teng, galah panjang, baling selipar, main kejar-kejar. Ia merupakan antara permainan yang kami main. Abang-abang sepupu main perang-perang. Kami yang perempuan pun ikut sama. Laman rumah kampung amat luas...memang kami manfaatkan sepenuhnya walaupun bilangan sepupu kami tidaklah seramai mana. Bila raya, suasana sangat meriah dan paling saya suka setelah pelita-pelita di pasang sekeliling rumah. Cantik sangat rumah masa tu.

Hari ini,saya pulang ke kampung. Kakak sepupu mengajak saya-mandi laut. Ya Rabbi, nikmat yang saya paling suka. Dua hari sebelumnya. Ibu telah menyiapkan kuih karipap yang sangat enak. Itulah bekalan kami semasa di pantai dan sedikit mi hoon juga sebotol air masak.

Sudah lama juga saya tidak menikmati keindahan alam sepenuhnya. Langit yang membiru dan laut yang luas, benar-benar membuktikan Allah Maha Besar, Allah Maha Indah. Terapung di permukaan air, berlumba berenang dengan Yang utama lagi mulia buatkan saya rasa sangat tenang dan cukup gembira. Kemudian, kami menaiki banana boat. Pertama kali saya naik dan saat yang paling teruja, kami dijatuhkan ke dalam air! Aduh, saya rasa mahu buat kali kedua.

Ambil kesempatan.


Kawan ibu yang mengajar saya berenang. Sampai sekarang jika saya sedang berenang, saya akan ingat pak cik tersebut. Dia guru saya secara tidak langsung. Sangat berterima kasih padanya atas ilmu yang diberi.

Ketika saya sedang memandu, antara orang yang paling ingat adalah orang yang mula-mula mengajar saya tentang kereta dan pemanduan. Sangat berterima kasih juga padanya. Guru saya secara tidak langsung.

Saat ini, mahu mengambil kesempatan untuk berterima kasih kepada guru-guru yang mengajar saya secara formal mahupun tidak formal. [Hari guru lambat lagi]

I'ya...Aunty Y yang mengajar saya tentang dunia perniagaan. Kak H dan kek pisang sentiasa buatkan saya memuji kebesaran-Nya dan Kak A yang melatih saya untuk kuatkan diri bila berhadapan dengan pelbagai kerenah manusia.

Bersyukur Allah temukan saya dengan mereka. Moga Dia merahmati kehidupan mereka, saya dan seluruh umat Islam. Ameen.

Nota kaki
: Entri yang bercampur-baur.

October 18, 2010

Orang tengah.



Bukan mudah untuk menjadi orang tengah.

Banyak hati yang perlu di jaga.

Allah.

Nota kaki: Rahmati kami, ya Rabb...

October 12, 2010

Sukan



Dengar lagu ni,semangat kan? Khamis,Sukan Komanwel di Delhi akan melabuhkan tirainya. Sangat mengujakan saya apabila melihat peserta Malaysia bersaing dalam sukan tersebut.
Apabila peroleh pingat dalam tangan, buatkan saya amat terharu.
Tahniah buat kontijen Malaysia yang sudah mengumpul tujuh pingat emas setakat ini.

Masa pulang dari tadika dulu, ayah yang ambil saya. Kemudian akan bawa saya bersama ke latihan ragbi yang ayah perlu jalani bersama teman-teman sekerjanya.
Kadang-kadang ikut ayah main badminton. Tapi masa kecil, tengok je ayah...saya main pun dalam dunia sendiri.

Masuk sekolah rendah, saya mula aktif sukan. Hingga ayah beri amaran, jangan abaikan pelajaran!

Apa yang berlaku semasa meningkat remaja? Saya kurangkan aktiviti bersukan di sekolah menengah. Sebaliknya, serius dalam berkawat kaki. Masuk kadet polis. Hingga saya diberi pangkat kopral dalam unit pasukan seragam itu.

Keluar topik sukan jap, masa temuduga untuk sambung belajar. Orang yang temuduga saya, bertanya..."Kenapa awak tak masuk polis?"

Tergamam saya bila ditanya soalan begitu.

"Saya tidak berminat untuk berkerja dalam unit berunifom,encik."

Rasa mahu tergelak bila saya habis cakap. Tapi semuanya kena kawal diri. Encik itu pun menganguk-anggukkan kepalanya sahaja.


Ok, teringat pada hadis Rasululullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim,
"Ajarilah anak-anak kalian berkuda, berenang dan memanah."

Sebab apa...

1) Berkuda



Sabda Rasulullah SAW : “Lemparkanlah (panah) dan tunggangilah (kuda).” (Riwayat Muslim)

Berkuda amat baik untuk kesihatan manusia. Seluruh anggota tubuh badan dari kepala hingga ke kaki, dari fizikal hingga mental akan mendapat manfaatnya.

Bentuk lekuk badan belakang kuda - tempat di tunggang- adalah baik untuk merawat segala masalah tulang belakang manusia.

Semasa pergerakan galloping iaitu cara rentak kuda melompat dan berlari, menyebabkan vetebra tulang belakang manusia bergesel antara satu sama lain dalam keadaan harmoni, dan meransang saraf-saraf tulang belakang, seolah-olah diurut, sedangkan pakar chiropraktik pun tidak mampu berbuat seperti gerakan natural tulang-tulang veterbra semasa orang menunggang kuda.

Seluruh anggota : tulang rangka, otot-otot, organ-organ viseral - termasuklah sistem penghadaman, sistem saraf, sistem voluntary mahupun involuntary, organ perkumuhan, malah geseran kepada organ-organ seksual akan teransang secara optimum untuk menjadi semakin sihat. Penunggang kuda yang hebat selalunya bebas dari mengalami sakit belakang atau ’ter’gelumang dengan tabiat-tabiat seks yang di luar tabie. Selain itu menunggang kuda turut mencerahkan mata sebab terdapat ransangan terhadap saraf kranial semasa gerakan ‘galloping’ kuda.


2) Memanah



Melatih emosi dan fizikal untuk meletakkan target pada sasaran. Memanah sangat menitik beratkan body balancing. Maka jika pemanah emosinya tertekan, maka panahan amat mudah tersasar. Secara tidak langsung, sukan ini melatih manusia bertenang dan menstabilkan emosi.

Individu yang tidak tenang, gopoh, pemarah, kurang sabar atau kurang sihat mentalnya tidak akan menjadi pemanah yang baik.

Perbuatan melenturkan anak panah di busurnya, kemudian melepaskannya perlu satu kekuatan fizikal, sukan ini juga satu latihan holistik kepada diri seseorang dari segi fizikal dan mental.

Bersabda Rasulullah SAW,
"Kamu harus belajar memanah kerana memanah itu termasuk sebaik-baik permainanmu.” (Riwayat Bazzar, dan Thabarani dengan sanad yang baik)


3) Berenang



Semasa berenang, mental, fizikal, segala otot dan tulang rangka digerakkan untuk membuat satu gerakan yang berkoordinasi antara dua anggota kaki dan dua anggota tangan, selain meransang stamina ( sistem kardiovaskular ).Berenang juga memberi peluang manusia untuk menguasai air serta menjadi berani.



Ade rezeki, memang mahu belajar memanah. Insya Allah!

Nota kaki: Majulah sukan untuk negara. Moga hamba Allah ini, Dia berikan kesihtan yang baik, ilmu yang bermanfaat serta rezeki yang luas. Ameen.

September 25, 2010

Teman.




Ayah menjemput teman sekantor beraya di rumah, datang selepas mahgrib. Ibu dan saya menyediakan juadah sebaik mungkin.

Ayah lupa, dia perlu menjemput sepupu saya di lapangan terbang yang baru pulang bercuti. Sungguh, dia terlupa. Kata ayah, pukul sembilan setengah jika kawannya belum sampai, saya yang perlu meraikan mereka.

Saya tarik muka. Mahu apa yang dibicarakan jika bersama teman-teman ayah?

Tepat pukul sembilan,teman ayah sekeluarga selamat tiba. Sembilan setengah...ayah dan ibu mula meminta diri. Meninggalkan saya keseorangan di rumah.

Apa yang saya buat? Cuba berbual dengan mereka. Alhamdulillah bila pak cik dan keluarganya amat ramah. Jika harapkan saya yang mulakan bicara. Aduhai! Entah bila agaknya.

Mereka pulang dalam sepulung setengah macam tu. Terima kasih banyak pak cik sekeluarga kerana sudi beraya di rumah walaupun tanpa ayah dan ibu.

Pulangnya mereka,saya mula mengemas meja dan mencuci pinggan-mangkuk yang telah diguna. Saya bermuahasabah diri.


Jika ibu dan ayah tiada suatu hari nanti (pasti akan terjadi bukan? cuma saya yang tidak tahu bila saatnya) mampukah saya kekalkan silaturahim antara ibu dan ayah dengan teman-teman mereka?

Allah Allah.

Saya sebak.

Nota kaki: Lagu yang tiada kena-mengena dengan entri - antara lagu raya yang digemari.

September 22, 2010

Kuih talam.

Satu.
Malam ini. Bulan sangat indah. Puji-pujian hanya miliknya.

Dua.
Petang semalam. Saya mendapat panggilan daripada ibu. Minta saya buatkan kuih talam suji. Ada kawan yang ingin membelinya.

Tiga.
Bulat mata saya mendengarnya. Sedarkah ibu bahawa saya sudah lama tidak membuat kuih talam? Hampir setengah tahun rasanya.

Jalan seterusnya, membuka kitab kuih talam dan berusaha membuatnya sebaik mungkin. Akhir, serah bulat-bulat natijahnya kepada Allah.

Empat.
Esok, ibu kata..."Perfect!". Macam chef dalam rancangan Chef At Home, tujuh kosong satu - beliau suka kata begitu. Heh.

Lima.
Dalam diam. Saya bersykur. Amat bersyukur.

Enam.
Orang lama. Gemar benar akan kuih talam suji.


Nota kaki: Banyakkan istighfar,wahai diri.

July 27, 2010

Jalan seterusnya.


Kerja Tuhan itu penuh rahsia bukan?

Lapan hari selepas ulang tahun kelahiran saya, saya telah bebas.
Yakni, berhenti kerja.
Demi Allah, saya tidak terfikir pun saya akan berkerja sekejap ini.

Biarlah saya membantu ibu sebanyak mungkin.
Saya rasa tidak mampu untuk memberi hasil kerja yang memuaskan jika keputusan ini tidak dibuat.

Kenangan bersama teman-teman juga ilmu yang diperolehi, amat saya syukuri.

Ketika Ramadhan melabuhkan tirainya kelak, apa jalan cerita saya seterusnya?

Allah Allah.

April 04, 2010

Tentang ayah.



Bismillah.

"Eh...tadi tu, ingat ayah awak.", kata seorang teman. Setelah saya berjumpa dengan ibu dan kebetulan seorang hamba Allah berdiri berhampiran kami. Dia bersama sepasang anak yang comel-comel, mudah-mudahan mereka menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.

Pulang rumah. Saya berfikir, dan jujurnya saya terkejut dengan tanggapan yang sebegitu pada ayah. Ayah...moga Allah merahmati ayah. Seorang yang tidak berkopiah, tidak berjambang, tidak nampak pada ayah ciri-ciri ala seorang ustaz. Tidak semestinya ibu, yang utama dan yang mulia serta saya begini...ayah perlu berkopiah.

Ayah...seorang yang biasa-biasa sahaja pada zahirnya. Kami, yang dekat pada ayah mengetahui luar biasanya ayah. Zaman sekolah rendah, pernah kami merungut, kenapa perlu ke sekolah agama pada waktu petang selepas ke sekolah kebangsaan. Kami hanya ada dua puluh minit sahaja untuk bersiap-siap ke sekolah agama. Alhamdulillah, saya bersyukur dikurniakan pakcik bas yang sangat baik hati dan memahami, sanggup sabar menanti kami di hadapan rumah.

Apa jawpan ayah? Ayah diam dan biarkan kami berterusan merungut. Hinggalah tiba saatnya dimana ayah cerita segalanya. Ayah, tidak mahu kami menjadi seperti ayah...tidak tahu membaca jawi, kurang fasih dalam mengaji quran. Dia mahu anak-anaknya menjadi lebih baik daripadanya.

Natijahnya...hasillah kami saat ini. Walaupun perjalanan adik-adik dan saya masih jauh, berkat doa ibu ayah. Kami menjadi orang beragama bukannya orang agama(mudah-mudahan hingga ke nafas terakhir). Saya sedar situasi itu bila Allah temukan saya dengan orang-orang yang saya berasa amat terasing ketika bersama mereka. Acap kali perlu berusaha bermujahadah, bermuahasabah diri. Tetapi saya tetap bersyukur dengan apa yang Allah aturkan, apa yang Allah tetapkan, apa yang Allah temukan, apa yang Allah buat pada saya, saya tetap bersykur walaupun saya rasa tidak layak berada di tempat ini.

Ayah, habiskan sebahagian wangnya dengan membeli bahan bacaan buat kami. Terima kasih atas kepercayaan ayah kerna anak-anakmu sentiasa manfaatkan semaksimum mungkin nikmat pemberian daripadamu ayah,ibu.

Buat ibu...ayah, redha mu yang kami harapkan selepas Allah. Doakan kami, izinkan kami berbakti padamu hingga akhir usia kami. Terima kasih atas segalanya ibu, ayah... dan puji-pujian hanya buatMU,Allah.

Nota kaki: Hey, sudah april! Alhamdulillah~

March 20, 2010

Pasar.



Entri cuti sekolah, tulisan saya macam kanak-kanak pula. Antara faktor besar menyebabkan saya tidak menulis adalah tidak membaca dan kurang bermusafir. Bila banyak membaca,semakin bertambah ilmunya. Bagi saya, jika banyak berjalan, bermusafir, berjumpa dengan orang ramai...minda kita akan berkembang.

Keadaan di sekitar saya saat ini, amat membimbangkan. Dengan iman yang ada pasang-surut. Perlukan sesuatu untuk menstabilkannya kembali. Mudah-mudahan, Ahad ini...keluar bersama teman lama, dirahmati Allah.

Saya mahu cerita tentang pasar. Pernah ke pasar seawal enam pagi untuk mengelakkan kesesakkan lalu-lintas di pekan. Suasana di pasar sangat mengujakan. Semuanya sibuk belaka dan pelbagai bangsa yang bangun seawal pagi itu(lebih awal pastinya) untuk mencari rezeki Allah (orang Islam, subuh kita bagaimana?). Benar-benar bersyukur bila dapat menikmati suasana tersebut.

Di pasar, saya belajar kembali cara bermuamalat dengan baik. Daripada tidak kenal kepada kenal. Diam kepada banyak bicaranya. Menjadi seorang yang mudah tersenyum serta menyebarkan salam kepada yang Islam. Dulu, saya susah buat semua itu. Dalam diam juga, ibu perkenalkan teman-temannya di pasar. Pasangan suami isteri yang berniaga santan, mak cik yang berbangsa Cina-menjual tepung, gula serta bahan-bahan kering yang lain, mereka yang berniaga sayur-sayuran juga sudah saya kenali. Ada rezeki, mahu kenal dengan pakcik berbangsa India yang menjual ikan-ikan yang sentiasa segar itu.

Cuma satu, peniaga buah-buahan(biasanya ibu akan ke chow kit,bagi mendapatkan buah-buahan yang enak dan rangup) di pasar itu yang saya sendiri usaha untuk berkenalan. Semuanya kerna pisang. Mahu tidak mahu, saya perlu buka mulut untuk menurunkan lagi harga yang ada, kerna perlu membelinya dalam kuantiti yang banyak. Banyak lagi yang saya dapat dan akan pelajari apa yang berlaku di pasar.

Mudah-mudahan...Allah membantu saya dalam menjaga hubungan saya dengan-NYA dan hubungan sesama manusia.

Alhamdulillah...Yang utama dan yang mulia mengingatkan agar menghidupkan cara bergaul yang diajar Rasulullah s.a.w..dengan sesama manusia dan ciptaan Allah.

Nota kaki:Suka, dengan bau-bauan pada waktu pagi.

March 14, 2010

Bila terasa lemah..



we want to see your smile =)



Sahabat,

Bila saja kau terasa lemah,

Ingatlah,

“Allah bersama-sama kita”



Sahabat,

Bila saja kau terasa lemah,

Ingatlah,

“Mudah itu ada bersama”



Sahabat,

Bila saja kau terasa lemah,

Ingatlah,

“Syurga tempat rehat kita”



Sahabat,

Bila saja kau terasa lemah,

Ingatlah,

“Janji-janji kita”



Sahabat,

Bila saja kau terasa lemah,

Ingatlah,

“Allah melihat tangis itu dan Dia kasihi mu”

Dan,

“Dia kan selalu ada bersama mu”

Maka,

Tersenyumlah engkau,

Bak mentari terang-benderang,

Menerangi sekalian alam,

Tersenyumlah.





Cuti sekolah.


Bila ia bermula, sibuklah kami. Memang minggu ni saya 'di dera' habis-habisan. Tak menang tangan dibuatnya. Macam biasa, dalam dilema persimpangan, antara ibu dan bos. Aisehhh. Terima kasih tak terhingga kepada pelajar-pelajar praktikal(dua minggu lagi mereka akan tinggalkan saya) yang sudi meringankan beban. Terus bagi semangat pada saya. Moga Allah memberi ganjaran yang setimpal.

Tinggalkan cerita tentang kerja. Cuti sekolah, Mal dan Yang Utama lagi Mulia tidak pulang ke rumah. Saya lepas rindu dengan melihat kamar mereka sahaja. Moga Allah pelihara mereka sebaik mungkin.

Forum perdana tivi satu. Rezeki saya, dapat timba ilmu melalui media elektronik. Minggu sudah, saya dapat menontonnya sambil menolong ibu. Apa yang ustaz pesan tentang rezeki...anak-anak yang sudah bekerja, walaupun memiliki gaji yang kecil. Berilah sedikit wang tersebut pada ibu ayah agar bertambah berkat rezeki tersebut. Saya bertanya pada ibu: "Ibu, sudi terima dari kakak tak?" Jawapan ibu hanya sebuah senyuman.

Mahu dengar satu cerita? Tentang Abang Heri. Anak kepada teman ayah. Ayahnya bercerita...dia berasa pelik dengan akaun banknya dimana, duit simpanannya sentiasa bertambah. Sehinggalah suatu hari, dia sedar bahawa tiada lagi wang yang di masukkan ke dalam akaun itu. Barulah dia mengerti siapa gerangan yang memasukkan wang kedalam akaun-nya selama ini...tidak lain dan tidak bukan, anak sulungnya Abang Heri. Teman ayah sedar setelah Abang Heri pergi...menghadap Illahi. Usai Isyak dan sedang menonton tivi bersama teman-temannya. Posisinya sedang bersandar pada dinding dan dia pergi dengan tenang. Cerita lama...i'ya,sudah lama Abang Heri pergi meninggalkan dunia yang fana ini. Saya tidak ingat wajahnya. Masih di sekolah rendah ketika arwah berada di sekolah menengah dan universiti. Tetapi...ibu bilang, arwah sentiasa tersenyum orangnya. Jika ibunya marah, dia akan senyap dan keluar rumah seketika.
Saya mahu jadi seperti Abang Heri.
Buat Abang Heri...al-fatihah saya hadiahi buatmu.

Seorang teman bertanya, blog saya masih di private-kah? Dia merindui untuk membaca tulisan saya...

Bulan tiga,pesta buku bermula. Tidak sabar rasanya untuk ke sana!

Nota kaki: Selepas kalamullah, lagu-lagu Maher Zain sering berkumandang di kamar. Allah Allah...

February 28, 2010

Seterusnya.



Bismillah. Setengah jam daripada sekarang, saat entri ini ditulis...bulan tiga dua ribu sepuluh akan mengambil tempatnya. Sekejap sahaja masa berlalu. Hingga saya yang terhegeh-hegeh mengejarnya. Permulaan tahun yang baik sekali dari segi rezeki dan kesihatan. Juga iman yang sentiasa turun naiknya. Sepi di dunia maya? Saya perlu ambil masa, sesuaikan diri saat ini.

Apabila diri telah pun di miliki oleh dua orang iaitu ibu dan bos. Bos? I'ya. Alhamdulillah, saya sudah bekerja. Masih bekerja dengan ibu (mudah-mudahan hingga ke akhir usia,ameen.) Juga, di kantor baru. Suasana baru. Teman-teman baru. Ilmu juga baru, dan semakin ilmu itu diperolehi...saya rasa kosong persis tiada satu ilmu pun di dada. Banyak perkara yang perlu di cari, di ketahui. Hingga saya rasa perlu berehat serta berhenti seketika daripada mencari. (Harapan saya...Allah permudahkan urusan dalam mencari ilmu untuk akhirat setelah DIA meminjamkan sedikit ilmu untuk dunia,ameen.)

Tetapi sampai bila mahu berehat, bersenang-senang. Usia makin bertambah. Ilmu dan pitis amat penting saat ini. Hinggakan ada seorang muslimah(moga rezekimu sentiasa melimpah-ruah,ameen.) bertanya kepada saya, bagaimana caranya untuk mendapatkan wang tambahan. Allah...Saya bukan orang yang layak untuk memberi ilham padanya. Mudah-mudahan rezeki muslimah tersebut sentiasa mengalir walaupun tanpa dia sedari.

Saat ini, saya bersyukur(giler bersyukur pun ye) dengan segalanya walaupun tiada rezeki saya untuk menyambung pengajian. Sangat hargai nikmat sibuk yang diberi-NYA.
Mudah-mudahan, jalan cerita seterusnya di bulan baru, menjadikan saya lebih baik lagi, lebih kuat menghadapi segalanya. Bak kata empunya cahaya biru, perjalanan ibadah semestinya...yang amat saya harapkan.


Nota kaki: Yang utama,yang mulia bilang mengenai kantor saya setelah saya ceritakan segalanya..."Patut la Allah letakkan, awak kat situ..."

Ya Allah, jika aku jatuh...bangunkan aku. Jika aku lalai ya Allah, ingatkanlah aku. Hamba-Mu ini, yang amat lemah ini... Ameen.Ameen.Ameen.

February 19, 2010

Di Sebalik Cinta Tanpa Syarat Itu.


“Anak-anak, dalam kereta duduk elok-elok. Pakai tali pinggang. Bahaya kalau berdiri” saya mengomel.

Naurah dan Imad berada di kerusi belakang.

Mereka berebut makanan yang saya beli semasa ke UTP sehari sebelumnya. Ada kerepek pisang tergantung di belakang.

“Allah, lupa pula yang hari ini Yeop ada kelas Taekwondo” saya merungut sendirian semasa melihat murid-murid Khalifah Model School rancak berlari mengelilingi premis KMS dengan pakaian lengkap mereka.

Kereta saya berhentikan di tepi jalan.

Cuaca sangat panas.

Pagi tadi saya demam panas. Mungkin keletihan yang berlebihan selepas memandu jauh dari Kuala Lumpur ke UTP di Sri Iskandar Perak dan kemudian pulang ke KL pada malam yang sama. Kuliah Zohor terpaksa saya batalkan.

“Ummi habis kerja hari ini jam 5. Kalau ambil Yeop dulu pun tak apa” saya membaca sms yang isteri hantar.

Ada sejam lagi sebelum pukul 5. Cuaca yang panas menyebabkan saya bertindak pulang semula ke rumah.

“Naurah, Imad, botol air tu bukankah ada dua. Tak perlu berebut. Nanti tumpah” saya menegur anak-anak yang tidak henti-henti berperang di belakang.

Telefon bimbit saya letakkan di tempat meletak cawan di kiri kerusi pemandu. Ia tempat biasa saya meletakkan telefon.

“Ehh, apa yang basah ini?” saya sedikit terkejut melihat percikan air di gear kereta.

Kesibukan jalanraya menyebabkan saya tidak berpeluang menoleh ke kiri dan kanan. Percikan air itu saya abaikan dan perhatian terus ditumpukan kepada jalanraya.

Setibanya di rumah, saya mahu membaca sms berbaki.

Allahu Akbar!

Seperti tidak percaya, Iphone berusia setahun lebih dan masih awet muda itu terendam di dalam tempat meletak cawan. Air mineral dengan jumlah hampir sebotol telah tersiram ke dalam bekas itu dan Iphone saya bergaya seperti kapal selam. Sebaik sahaja telefon itu dikeluarkan, tangan saya tersentak kerana terkena renjatan elektrik. Jika telefon lain, harus sahaja saya cabut baterinya segera untuk dikeringkan. Tetapi bagi Iphone yang baterinya berada di dalam, tambahan pula dengan wayar charger yang masih terlekat padanya, Iphone saya sudah Qaalu Innaa Lillaah wa Innaa Ilayhi Raaji’oon!

Semasa menoleh ke belakang, Naurah memerhatikan saya sambil tangannya masih memegang botol air mineral yang sudah kosong. Imad pula menunding-nunding jari ke arah kakaknya.

“Kakak buat, kakak buat!” kata Imad.

Saya menelan air liur.

Antara marah yang bersangatan dan sayang kepada anak yang tidak bersyarat, saya hanya mampu melepaskan satu keluhan yang sangat dalam untuk membuang segala tekanan.

Marahlah anak.

Tetapi jangan sampai melabelnya.

“Bodoh! Degil! Kamu memang macam itu!”

Semua label, adalah kesimpulan kita tentang seorang anak. Apabila kita membuat kesimpulan, bererti kita telah memuktamadkan siapa anak kita. Kesimpulan itu menjadi doa. Hodohnya bahasa seorang bapa atau ibu jika yang didoakannya adalah kebodohan, kedegilan dan kenakalan si anak.

Saya mengurut dada, merenung tajam Naurah dan Imad dan mengekang lidah daripada menyebut apa-apa. Ketakutan mereka melihat renungan tajam saya, sudah memadai untuk hari itu.

BUKAN UNTUK BERGAYA

Saya membeli Iphone, sama seperti tujuan saya membeli telefon-telefon yang lain sebelumnya. Ia bukan untuk bergaya, tetapi saya yang sudah menggunakan PDA semenjak Palm V di tahun 1998 lagi, menggunakan seluruh fungsi yang ada di dalam telefon tersebut. Email, kalendar, Quran Search, Text and Bookmarking, Jadual Solat Satelit, Currency Converter, E-book, nota ceramah, kamera, Ipod, Safari Browser untuk internet, RSS Feed dan hampir 80% fungsi yang ada, kesemuanya saya gunakan dengan penuh optimum.

Kehilangan Iphone menyebabkan saya seperti kebakaran pejabat!

Terkenang kembali kerja keras hingga hilang separuh nyawa untuk membelinya, RM2000 hilang sekelip mata.



“Hari ini kalian Abi maafkan. Tetapi 10 tahun daripada sekarang Abi akan ceritakan kembali. Bukan untuk membalas dendam atau mengungkit-ungkit, tetapi sekadar mahu mengingatkan kamu sebagai remaja di hari itu, ada banyak kisah CINTA TANPA SYARAT seorang bapa dan ibu yang mungkin kamu telah lupa. Jangan mudah meremehkan ibu bapamu. Kalian mungkin lebih bijak dari ibu dan bapa. Tetapi mustahil kalian sebagai anak mampu bertanding dengan kasih sayang seorang ibu dan bapa” saya mengomel sendirian.

TRAGIS

“Ustaz, saya nak menjemput ustaz ke sekolah isteri saya di Putra Jaya pada 5hb akan datang. Ustaz berkelapangan?” tanya seorang ustaz semasa saya minum ringan selepas berceramah di Bangi.

“Sekejap ya. Bagi saya periksa jadual terlebih dahulu!” saya menjawab.

Tangan meraba-raba poket.

“Eh…” saya kebingungan.

Thahurun Insya Allah…

Wahai anak, kamu mungkin lebih bijak daripada kami, tetapi kamu tidak mungkin dapat mengatasi kasih seorang ibu dan bapa. Kamu hanya mampu mengasihi kami selepas kamu bijak, tetapi kami mengasihi kamu sebelum kamu lahir!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG



Nota: Demi Allah. Saya merindui ibu,ibu,ibu...dan ayah. Acap kali saya sering terlupa tanggungjawab saya pada mereka dan cinta mereka buat saya yang tanpa syarat itu. Allah Allah...