September 30, 2008

Eid mubarak 1429H.




Selamat Hari Raya Aidilfitri.
Maaf Zahir Batin.

Moga Ramadhan yang lalu lebih bermakna.
Dan Ramadhan itu juga, dapat dijadikan bekalan bagi 11 bulan yang mendatang.


Salam penuh kemenangan.

September 25, 2008

Si tukang jahit.

Pulang dari kelas-sekali imbas sahaja saya pandang akhbar Mega atas meja makan-gambar seorang wanita sedang mengukur kain-kurang menarik perhatian saya sebenarnya.

Baju raya sentuhan kaum Cina-tajuknya, membuatkan saya berpusing dua kali untuk menatapnya.

Saya baca-sambil tersenyum sendirian-mula timbul perasaan cemburu-terasa sedikit tercabar-berasa semangat untuk mencari ilmu dan...?

Keratan itu saya baca sebentar-banyak kerja yang perlu dibereskan-abaikan ia seketika-dan saya simpan buat inspirasi bagi saya.
Hari-hari terakhir membuat saya semakin rindu padaNya.



Artikelnya...

SUATU fenomena biasa, apabila menjelangnya hari perayaan seperti Aidilfitri, individu yang paling sibuk sekali ialah tukang jahit. Beratus-ratus helai pakaian tradisi seperti baju kurung, baju Melayu, baju kebaya perlu disiapkan sebelum menjelangnya Syawal.

Kesibukannya semakin terasa sekiranya pelanggan menghantar tempahan pakaian pada 'waktu kecemasan' iaitu pada awal atau pertengahan puasa. Hendak ditolak, pelanggan tetap dan jika diambil bimbang tidak dapat siap. Inilah dilema yang sering dialami tukang jahit.

Melihatkan kekalutan menyambut Hari Raya dari segi tempahan pakaian, sememangnya tukang jahit kaum Cina turut menjadi pilihan untuk menghasilkan baju-baju tradisional kaum Melayu.

Kenapakah ini berlaku, adakah kerana ketidakpercayaan atau ketidakselesaan oleh tukang jahit bangsa Melayu berbanding dengan kaum Cina?

Pemilik Lily Fashion, Lily Tan, 46, yang mempunyai pengalaman hampir 20 tahun dalam bidang jahitan mengakui bahawa musim raya adalah waktu yang paling sibuk.

Katanya, majoriti pelanggannya terdiri daripada orang Melayu yang tinggal di kawasan Setiawangsa, Hulu Klang dan sekitar Lembah Klang.

Beliau yang mahir dalam menjahit baju tradisional Melayu berkata, minatnya kepada jahitan bermula sejak remaja lagi tetapi hanya diceburi secara serius setelah berkahwin dan bekerja.

"Saya bekerja di pejabat selama 10 tahun, sambil-sambil itu belajar menjahit baju fesyen dan tradisional. Setelah mendalami ilmu jahitan, saya memberanikan diri mengambil upah menjahit yang dijalankan di rumah.

"Pada masa itu kebanyakan pelanggan terdiri daripada kawan-kawan pejabat dan jiran-jiran, malah saya turut mengadakan khidmat mengukur dan mengambil tempahan di rumah pelanggan.

"Saya mengunakan sebuah bilik kecil di rumah pangsapuri sebagai lokasi menjahit. Walaupun keluasannya agak terhad, ia cukup untuk menyiapkan tempahan pelanggan pada waktu yang ditetapkan.

"Apabila pelanggan semakin ramai dan tempat yang ada tidak sesuai untuk menerima pelanggan, maka saya menyewa kedai di Setiawangsa sebagai kedai jahitan sehingga sekarang,'' katanya.

Menurut wanita kelahiran negeri Melaka ini, selalunya, dalam pembuatan baju kurung atau kebaya, proses mengukur dan menggunting adalah penentu kepada keselesaan sesuatu pakaian itu.

"Jika ukuran yang diambil salah dan guntingan kain tidak betul, maka pakaian itu akan menjadi serba tidak selesa walaupun mempunyai bentuk tubuh yang cantik.

"Inilah yang selalu saya pentingkan. Biasanya, saya sendiri yang akan melakukan kerja mengukur dan menggunting kain pelanggan supaya mereka puas hati dan selesa dengan pakaian yang ditempah.

"Mungkin itulah sebab utama pelanggan saya terutamanya orang Melayu tidak ke tempat lain,'' ujar ibu kepada dua cahaya mata yang telah dewasa ini.

Tambahnya, dalam menjahit baju, beberapa faktor perlu diambil kira iaitu tubuh pelanggan. Jika tubuhnya lawa, pakaian yang dibuat akan cantik dipakai, tetapi jika tidak normal atau terlalu kurus, akan memberi masalah sedikit kepada tukang jahit.

"Namun, saya akan sentiasa berusaha memberi kepuasan kepada pelanggan. Jika pelanggan tidak puas hati, mereka boleh memulangkan kembali untuk dibetulkan semula sehingga mereka benar-benar berpuas hati.

"Begitu juga dengan dalam khidmat nasihat mengenai fesyen yang hendak dibuat. Kadangkala saya akan menasihatkan mereka fesyen yang sesuai untuk kain yang dibawa. Nampaknya, kebanyakan pelanggan saya boleh menerima cadangan dan akhirnya mereka puas hati dengan pakaian yang telah disiapkan,'' jelasnya.

Menurut Lily, setiap kali tibanya hari perayaan seperti Aidilfitri, tempahan akan meningkat sebanyak dua kali ganda membuatkan beliau dan pekerja terpaksa bekerja lebih masa.

"Ada ketika melewati hingga 12 jam sehari berbanding pada hari biasa hanya lapan jam sehingga waktu makan dan rehat pun terpaksa dilupakan bagi menyiapkan tempahan.

"Saya bukan sahaja mengambil tempahan menjahit baju, tetapi menjahit manik dan menyulam. Nasib baiklah pekerja-pekerja yang ada memang mahir dan boleh menyiapkan dengan cepat dengan kualiti yang baik,'' katanya.

Walaupun katanya, baju kurung paling senang dibuat tetapi jika guntingan kain silap, ia akan mencacatkan pakaian, begitu juga dengan baju kebaya yang mengikut badan.

"Saya sentiasa memastikan pakaian pelanggan menepati kekemasan jahitan. Ini bagi mengelakkan sebarang aduan atau pelanggan 'lari'. Inilah yang menjadi prinsip saya dalam menyiapkan tempahan,'' katanya.

Lily memberitahu, kreativiti seseorang dalam menjahit pakaian bukan sahaja terletak pada kecanggihan mesin jahit dan fesyen yang dihasilkan.

"Apa yang penting ialah keupayaan memenuhi cita rasa dan keselesaan pemakai agar mereka tidak merungut selepas pakaian siap diambil.

"Kita dibayar untuk menjahit pakaian mereka. Sebab itulah kita mesti bertanggungjawab menyiapkan pakaian mengikut keselesaan mereka,'' katanya mengakhiri perbualan.

Nota kaki: Nanti, saya akan ulas lagi mengenai entri kali ini. Insya' allah.
Salam hari-hari terakhir~

September 15, 2008

Di Tengah Samudera Cinta-Mu…



Dalam resahnya pencarian
Dalam tertatihnya pengharapan
Ku adukan segala kelemahan
Ku serahkan segala urusan
Kiranya Engkau menuntunku
Kiranya Engkau membimbingku

Dengan payung Rahman dan Rahim-Mu
Dengan dekapan tak bertepi cinta-Mu
Di tengah derasnya gelombang hidupku
Di tengah luasnya samudera cinta-Mu
Ku nanti bersemi cinta di hatiku
Hingga tiada yang ku cari selain ridho-Mu


September 10, 2008

Semakin berlalu...



orangmuda : Terima kasih banyak buat ustaz&ummusaif yang banyak mengajar diri ini erti hidup pada memberi. Doakan kami, anak-anak murid ustaz di alam maya ini berjaya dunia&akhirat. Salam ramadhan buat ustaz sekeluarga daripada anak murid dekat yang jauh.

Kak Ija : Amin. (untuk doa orangmuda)

ABU SAIF : terima kasih orang muda. terima kasih kerana memanfaatkan bahan-bahan perkongsian kita di sini. semoga kita semua teguh beristiqamah hendaknya, ameen. salam ramadhan

Saya menghantarnya pada 2Ramadhan1429H di shoutbox SIO.

Sungguh, saya terlupa akan erti hidup pada memberi. Dan terlalu asyik memikirkan hak yang tidak berkesudahan.

Saya juga baru mula hendak merebut cinta Tuhan.

20 hari lagi dia akan tinggalkan saya?

Ya Rabb~

September 07, 2008

Bagaimana akhirnya saya bertudung.

Darjah Dua.

“Assalamualaikum, anak murid. Hari ini, hari pertama kita mulakan pelajaran. Memandangkan ini merupakan matapelajaran agama Islam, saya harap pelajar-pelajar perempuan dapat menutup aurat dengan sempurna dengan cara memakai tudung dan baju kurung. Lihat, kawan kamu. Dia dengan tudung dan baju kurungnya.”

Ustazah darjah dua saya menunding jari ke arah teman sekelas, Hamidah. Saya ingat lagi, dia seorang sahaja teman sekelas yang memakai tudung ketika itu.

Pulang dari sekolah. “Ibu, ustazah kat sekolah suruh pakai tudung.”

“Bagus la kakak, kakak pakai tudung sekolah agama dulu. Nanti ibu beli tudung baru, okay?”

Saya mula mengenakan tudung ketika ke sekolah. Sekiranya saya keluar rumah, saya tetap tidak bertudung.

Darjah Tiga.

Saya suka bermain dengan anak-anak jiran sehingga ibu terpaksa panggil pulang ke rumah untuk makan tengah hari atau kadang-kadang maghrib sudah muncul. Main anak patung dan masak-masak ketika itu amat menyeronokkan bagi saya.

Satu hari. Ketika sedang bermain dengan teman-teman. Saya terlihat kelibat seorang kakak (jiran jauh saya) sedang menunggang basikal dengan memakai tudung. Dia menuruni bukit dengan lajunya dengan bertudung…

Kagum saya. Dalam hati saya terdetik. Ada ek orang pakai tudung main basikal? Boleh ke pakai tudung main basikal? Entah mengapa…peribadi kakak itu menarik perhatian saya.

Kakak-bawak basikal-laju-tudung.

Betul-betul buat saya kagum . Sebelum itu, seingat saya, ketika saya darjah tiga, kakak (jiran jauh saya) itu sedang menuntut ilmu di universtiti. Jadi dia pun tak amik kisah dengan kanak-kanak persis saya ini dan saya pun tidak mengetahui kakak itu mengaji di mana.

Sampai dirumah, saya bercerita pada ibu mengenai apa yang saya lihat. Tentang kakak-basikal-laju dan tudung. Semuanya saya ceritakan pada ibu saya dengan persaan kagum yang tidak berkesudahan.

Respon ibu, “ Bagusla macamtu. Kakak tu tutup aurat. Boleh je main basikal dengan tudung. Tak salah.”

Saya diam, diam, dan diam.

“Ibu, kakak nak pakai tudung. Keluar pun nak pakai tudung. Boleh tak,bu?”

“Betul ke kakak? Jangan pakai tudung pastu bukak.Pakai bukak,kakak.”

“Tak. Ibu belikan kakak tudung ye.”

“Okay. Tapi buat sementara waktu kakak pakai tudung yang pergi ngaji tu k.”

“Terima kasih banyak,bu!”

Sejak itu saya mula bertudung. Pergi main dengan teman-teman pun bertudung.

“Qah, awak nak pergi mana? Jalan-jalan ek?”, tanya teman sepermainan saya.

“Tak la. Nak main la ni. Nape?", jawab saya.

“Ooo…pakai tudung ingat nak gi jalan-jalan.”

Saya senyum. Bermulalah kehidupan baru saya dengan bertudung.

Ketika ini...

Saya selesa dengan bertudung. Alhamdulillah ibu ayah saya bagi lampu hijau untuk bertudung walaupun masih berhingus. Siapa yang tidak suka anaknya menutup aurat bukan?

Pernah satu ketika…saya mengajak seorang teman sepermainan baik saya untuk bertudung.

Jawab teman saya itu, “ Mama tak bagi Qah.”

“Kenapa?”

“Mama cakap, dia tak pakai tudung. Takkan anak dia nak bertudung pula.”

Saya diam.

Sekarang, dewasa ini…teman saya ini sudahpun bertudung. Pernah saya tanya, “Mama, tak marah?”

Jawab teman saya itu. “ Tak. Ni dah duduk kampus, jauh dari mama. Dia okay je. Lagi pun anak dia nikan dah besar.”

Saya senyum, senyum dan senyum. Saya ucapkan tahniah pada teman saya itu kerna berjaya menyarungkan jilbab.

Tudung basahan.

Jika majoriti orang mempunyai kain basahan atau apa sahaja yang dibuat basahan. Saya ada tudung basahan. Tudung yang dibeli di Tanah Haram, diberi oleh ibu dan dijahit oleh adik saya amat bermakna buat saya. Kemana-mana saya pergi, saya akan membawa tudung itu. Ringan dan tidak perlu digosok.

Sehingga, ibu saya acap kali bertanya, “Kakak, dah tak ada tudung lain ek nak pakai? Balik kampung tudung ni. Duduk rumah pun tudung ni.”
Saya hanya mampu tersenyum. Sayang saya padang tudung itu hanya Allah yang tahu. Hampir lima tahun saya guna tudung itu buat basahan. Tiada tudung lain yang dapat menggantikannya di hati saya. Sungguh, saya sayang tudung itu.

Terima kasih ya Allah nikmat yang diberi olehMu. Kemudahan serta hidayah untuk bertudung. Memang banyak pahit-manis yang ada ketika saya sedang selesa menyarung tudung. Semoga Dia permudahkan urusan dunia dan akhirat saya.

Terima kasih buat yang utama dan yang mulia dalam diri saya, Athirah kerna sudi berkongsi fulus membeli Bagaimana Akhirnya Saya Bertudung pada 2003.


Nota kaki: Jumaat lalu. Sedang saya dalam perjalanan ke kelas. Saya terlihat seorang cewek-menggayakan baju kebaya dengan seluar jeans. Aduhai…kan lebih molek sekiranya, baju kebaya dikenakan dengan kain sarongnya.

September 01, 2008

Demi Islam, Ceriakanlah Dirimu!


“Tapi ustaz, susah untuk saya survive. Kami di Jepun selalu menyewa bilik sendirian”, keluh seorang muslimah di Jepun.

Saya memahaminya.

Dalam suasana pembelajaran di negara asing, sering terjadi pelajar tercampak ke suasana yang tiada persekitaraan solehah untuk menyokong iman. Tiada solat berjemaah, tiada makan bersama-sama, tidak mendengar suara muazzin membesarkan Allah di udara… segalanya itu mengundang kosong di dalam diri.

Suasana itu sahaja pun sudah cukup untuk menimbulkan faktor tekanan dan kemurungan.

DUNIA ASING

Keadaan seperti itu membimbangkan saya yang lama berada di tengah-tengah masyarakat pelajar. Mereka diakses kualiti intelektual untuk melayakkan diri menerima penajaan belajar di negara asing, tetapi penekanan kualiti emosi masih ketinggalan. Apatah lagi dengan pendekatan yang membelakangkan kualiti spiritual sebagai sumber kekuatan utama.

“Justeru awak memonyokkan muka sepanjang masa?”, saya membalas dengan pertanyaan.

Muslimah itu mendiamkan diri seketika.

“Inilah yang sering saya pesankan terutamanya kepada mahasiswi seperti ukhti. Mengapa selepas mendapat kesedaran Islam, kamu semua suka bersedih?”, saya menyambung perkongsian.

Memang benar, jalan Islam itu penuh rintangan.

Tiada karpet merah, tiada bunga manggar atau kelopak potpuri yang mengiringinya. Justeru jalan itu bukan jalan indah seperti yang diinginkan.

Tetapi keindahan ialah terjemahan perasaan hati, bukannya sekadar ilusi pandangan mata.

Dakwah Nabi SAW yang sangat manusiawi, ceria dan ada gurau senda itu indah dibaca, dan keindahannya tidak pernah datang dari faktor-faktor sampingan itu. Ceria atau tidak, adalah kualiti manusia. Kualiti hatinya.

Mengapa kerana mengikut Sunnah, kalian hilang ceria?

TIDAK MUDAH

Tidak mudah untuk seorang pelajar yang melakukan transisi dari ‘alam jahiliah’ ke ‘alam Islam’ untuk menyesuaikan diri mereka.

Suasana itu akan jadi lebih menekan apabila kita hidup di tengah-tengah masyarakat Jepun yang umumnya dikaitkan dengan budaya “MOKUNIN” yang sering menjadi mimpi ngeri warga asing di sana. Mokunin itu adalah suatu sikap ‘tidak mahu masuk campur’ yang bukan sahaja disengajakan, malah dilakukan secara bersungguh-sungguh oleh orang Jepun kerana tidak mahu terjebak di dalam masalah orang lain.

Kemurungan yang dialami akan menjadi lebih teruk apabila pelajar muslim dan muslimah kita tidak mendapat saluran sokongan diri.

LELAKI VS PEREMPUAN

Jika mahasiswa yang lelaki, mungkin perubahan diri itu tidak begitu menonjolkan kelainan. Dia boleh terus berpakaian seperti sebelumnya, rambutnya masih boleh terus disikat mengikut gaya sebelumnya. Dia juga tidak pernah dituntut untuk menukar ‘aku engkau’ kepada ‘ana anta’ sebagaimana tiada siapa yang pernah memaksanya berhijrah kepada ‘I you’.

Berbeza sekali dengan yang perempuan.

Kesedaran Islam membawanya kepada perubahan yang tertonjol secara ‘full display’. Daripada tidak bertudung kepada bertudung. Daripada memakai tshirt lengan pendek, kepada bersarung lengan atau terus meninggalkan tshirt. Dan jika kesedarannya terhadap Islam diiringi dengan kesedaran terhadap tanggungjawab dakwah, tudung dan bajunya juga selalu mengalami transisi. Dari ikan bawal kepada ikan pari, dari tiga segi kepada bulat menutup diri.

Perubahan itu secara rela atau paksa, terpaksa berdepan dengan ‘garis pemisah’, menonjolkan dirinya yang baru.

“Sebab itulah ustaz, saya tak nak ubah pakaian saya. Lebih selesa kekal begini”, jawab muslimah itu di dalam sesi dialog kasual saya dengan peserta Muslimah.

“Saya faham. Tetapi pakaian tetap akhirnya menjadi faktor sekunder kepada mesej dakwah awak”, jawab saya.


PAKAIAN ITU SEKUNDER

Tidak dinafikan, perbezaan pakaian akan memberikan impression yang berbeza. Jika dahulunya kita Minah Jeans, tetapi tiba-tiba berjubah dan bertudung besar, tentu sahaja circle teman-teman sebelum hijrah akan berasa kekok. Semacam ada barrier yang memisahkan.

Maka faktor pakaian memang ada peranannya.

Namun pakaian yang diubah suai tetap sekunder, dan bukan faktor utama.

Teringat saya kepada rakan-rakan yang mengikuti Jemaah al-Arqam pada era pertengahan 90an dulu. Mereka yang membina imej tersendiri dengan lelaki yang berjubah dan berserban khusus, serta muslimat mereka yang berjubah dan berpurdah, menjadikan kehadiran mereka sentiasa unik lalu tertonjol. Tetapi apabila al-Arqam diharamkan pada akhir 1993, mereka mencuba beberapa idea dari segi berpakaian untuk menyesuaikan diri dengan fenomena baru itu.

Bermula dengan menukar warna Jubah dari yang gelap kepada jubah dan serban putih di kalangan muslimin, hinggalah kepada kemudiannya berbaju batik dan bersongkok untuk mengubah konotasi pakaian mereka. Namun apa yang lebih mengejutkan saya ialah apabila muslimat mereka mengubah warna jubah dan purdah dari hitam, kelabu, perang tua yang dianggap sebagai suatu pemencelin, kepada warna merah, kuning terang, merah jambu, hijau terang…. sungguh flamboyan!

Hanya mereka yang tahu apakah motif perubahan itu.

Tetapi jika penukaran warna dari hitam kelabu kepada merah dan ungu, adalah untuk menghapuskan elemen pemencelin, saya merasakan ia sebagai suatu pemencilan baru yang lebih daring dan membina barrier yang lain pula.

Justeru, akhirnya kita kembali kepada asas manusia, bahawa kita saling berhubung dengan kelakuan dan perbuatan. Dengan akhlaq.

AKHLAQ PENENTU

Jika kita mengekalkan pakaian yang sama dengan ‘kawan lama’ sekali pun, tetapi jika kelakuan kita berubah, maka berubahlah kita. Masih berpakaian serupa tetapi dingin, hilang kemesraan, sentiasa bermasam muka dan berkerut dahi kerana kononnya menanggung masalah umat, sudah tentu kita akan tetap menjadi orang asing. Pakaian tidak lagi membantu.

Akan tetapi, jika kita memilih jubah dan tudung labuh sekali pun, namun kekal dengan sikap ramah tamah, mesra, ikhlas dalam bersahabat, dan ceria selalu, maka mad’u tidak lagi terperangkap di dalam pandangannya kepada pakaian kita, kerana telah diruntuhkan oleh kelakuan yang menyenangkan.

Justeru, ceria-cerialah wahai dai’e! Jangan bermasam muka, bermuram durja.

Mengapa selepas kalian mengenal Islam, wajah berubah menjadi mendung? Mengapa asyik menangis hingga kesedaran Islam kamu ditafsirkan oleh ayah atau ibu sebagai suatu ‘penderaan emosi’? Anak yang dahulunya tidak bertudung, ceria bersama keluarga dan boleh bergurau senda bersama, mengapa selepas ‘mendapat Islam’ dan bertudung, berubah menjadi penyedih, asyik menangis dan sentiasa tertekan?

Islam apakah yang kamu anuti hingga menjadikan kamu begitu?

“Jangan kamu perkecilkan sesuatu yang ma’ruf walaupun sekadar bertemu saudaramu dengan wajah yang ceria” (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi di dalam Syi’ab al-Iman)

Senyum dan ceria-cerialah tatkala berurusan dengan manusia, menangislah semasa bersunyi-sunyian bersama Dia.


Syukur...

"Setelah menaiki tren komuter dan LRT (Transit Aliran Ringan), saya rasa Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) tentunya tahu keadaanya."

Mahathir Mohamad-Bekas Perdana Menteri-Utusan Malaysia-Sabtu,30 Ogos 2008.

Komentar bekas perdana menteri itu selepas Bajet 2009 dibentangkan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Dewan Rakyat. Saya tersenyum sendirian apabila membacanya.

Iya...saya acap kali menggunakan kenderaan awam. Ia memudahkan saya untuk ke kelas dan berjumpa dengan teman-teman serta ahli keluarga. Amat bersyukur saya apabila negara ini mempunyai kemudahan awam yang sebenarnya selesa dan canggih seiring dengan pembangunan negara.

Ada hikmah yang besar dan mungkin kita yang terlepas pandang apa yang berlaku dengan LRT dan kenderaan awam di sekitar ibu kota pada Rabu(22 Ogos 2008), minggu PM kita naik komuter dan LRT pada Khamisnya. Biarlah mereka yang menghadapinya mengetahui betapa sedikit seksa hari tersebut.t

Saya teringat Umar al-Khattab, Khalifah Islam ke-2 setelah melihat PM bersesak-sesak menaiki komuter dan LRT di kaca tivi dan akhbar. Mungkin PM patut kerap berbuat demikian. Sekurang-kurangnya beliau merasai bagaimana kehidupan kami, rakyat Malaysia yang sebenar. Terima kasih kerana sudi naik kenderaan awam, PM!

Cumanya, bagi saya...kenderaan awam amat perlu diperbaiki sekarang. Sudah tiba saatnya ia betul-betul perlu dipantau dan diambil peduli bagi mereka yang berkenaan. Dari segi kemodenan saya rasa sudah memadai lihat sahaja bas Rapid KL. Seronok bukan menaikinya? Dari segi ketepatan masa terutama komuter...keadaan LRT terutama bila hujan...kadang-kadang bas pun begitu juga. Jangan pandang enteng perkara ini. Kadang-kadang bas penuh malangnya kerusi tak dapat nak duduk. Macam mana tu?

Tak perlu saya untuk menulis menjela-jela di sini.Dah banyak kali mereka-mereka itu meluahkan perasaan, menghantar SMS serta aduan dan ia telahpun dibuat melalui akhbar dan tivi.

Mudah-mudahan, bajet baru kali ini digunakan sebaik mungkin bagi mereka yang diamanahkan untuk menggunakannya.

Boleh ya, saya ucapkan mabruk buat mereka yang menang di Permatang Pauh.

Nota kaki: Alhamdulillah. Selamat Menghidupkan Ramadhan al-Mubarak 1429H dan Salam Kebebasan ke51.