February 28, 2010

Seterusnya.



Bismillah. Setengah jam daripada sekarang, saat entri ini ditulis...bulan tiga dua ribu sepuluh akan mengambil tempatnya. Sekejap sahaja masa berlalu. Hingga saya yang terhegeh-hegeh mengejarnya. Permulaan tahun yang baik sekali dari segi rezeki dan kesihatan. Juga iman yang sentiasa turun naiknya. Sepi di dunia maya? Saya perlu ambil masa, sesuaikan diri saat ini.

Apabila diri telah pun di miliki oleh dua orang iaitu ibu dan bos. Bos? I'ya. Alhamdulillah, saya sudah bekerja. Masih bekerja dengan ibu (mudah-mudahan hingga ke akhir usia,ameen.) Juga, di kantor baru. Suasana baru. Teman-teman baru. Ilmu juga baru, dan semakin ilmu itu diperolehi...saya rasa kosong persis tiada satu ilmu pun di dada. Banyak perkara yang perlu di cari, di ketahui. Hingga saya rasa perlu berehat serta berhenti seketika daripada mencari. (Harapan saya...Allah permudahkan urusan dalam mencari ilmu untuk akhirat setelah DIA meminjamkan sedikit ilmu untuk dunia,ameen.)

Tetapi sampai bila mahu berehat, bersenang-senang. Usia makin bertambah. Ilmu dan pitis amat penting saat ini. Hinggakan ada seorang muslimah(moga rezekimu sentiasa melimpah-ruah,ameen.) bertanya kepada saya, bagaimana caranya untuk mendapatkan wang tambahan. Allah...Saya bukan orang yang layak untuk memberi ilham padanya. Mudah-mudahan rezeki muslimah tersebut sentiasa mengalir walaupun tanpa dia sedari.

Saat ini, saya bersyukur(giler bersyukur pun ye) dengan segalanya walaupun tiada rezeki saya untuk menyambung pengajian. Sangat hargai nikmat sibuk yang diberi-NYA.
Mudah-mudahan, jalan cerita seterusnya di bulan baru, menjadikan saya lebih baik lagi, lebih kuat menghadapi segalanya. Bak kata empunya cahaya biru, perjalanan ibadah semestinya...yang amat saya harapkan.


Nota kaki: Yang utama,yang mulia bilang mengenai kantor saya setelah saya ceritakan segalanya..."Patut la Allah letakkan, awak kat situ..."

Ya Allah, jika aku jatuh...bangunkan aku. Jika aku lalai ya Allah, ingatkanlah aku. Hamba-Mu ini, yang amat lemah ini... Ameen.Ameen.Ameen.

February 19, 2010

Di Sebalik Cinta Tanpa Syarat Itu.


“Anak-anak, dalam kereta duduk elok-elok. Pakai tali pinggang. Bahaya kalau berdiri” saya mengomel.

Naurah dan Imad berada di kerusi belakang.

Mereka berebut makanan yang saya beli semasa ke UTP sehari sebelumnya. Ada kerepek pisang tergantung di belakang.

“Allah, lupa pula yang hari ini Yeop ada kelas Taekwondo” saya merungut sendirian semasa melihat murid-murid Khalifah Model School rancak berlari mengelilingi premis KMS dengan pakaian lengkap mereka.

Kereta saya berhentikan di tepi jalan.

Cuaca sangat panas.

Pagi tadi saya demam panas. Mungkin keletihan yang berlebihan selepas memandu jauh dari Kuala Lumpur ke UTP di Sri Iskandar Perak dan kemudian pulang ke KL pada malam yang sama. Kuliah Zohor terpaksa saya batalkan.

“Ummi habis kerja hari ini jam 5. Kalau ambil Yeop dulu pun tak apa” saya membaca sms yang isteri hantar.

Ada sejam lagi sebelum pukul 5. Cuaca yang panas menyebabkan saya bertindak pulang semula ke rumah.

“Naurah, Imad, botol air tu bukankah ada dua. Tak perlu berebut. Nanti tumpah” saya menegur anak-anak yang tidak henti-henti berperang di belakang.

Telefon bimbit saya letakkan di tempat meletak cawan di kiri kerusi pemandu. Ia tempat biasa saya meletakkan telefon.

“Ehh, apa yang basah ini?” saya sedikit terkejut melihat percikan air di gear kereta.

Kesibukan jalanraya menyebabkan saya tidak berpeluang menoleh ke kiri dan kanan. Percikan air itu saya abaikan dan perhatian terus ditumpukan kepada jalanraya.

Setibanya di rumah, saya mahu membaca sms berbaki.

Allahu Akbar!

Seperti tidak percaya, Iphone berusia setahun lebih dan masih awet muda itu terendam di dalam tempat meletak cawan. Air mineral dengan jumlah hampir sebotol telah tersiram ke dalam bekas itu dan Iphone saya bergaya seperti kapal selam. Sebaik sahaja telefon itu dikeluarkan, tangan saya tersentak kerana terkena renjatan elektrik. Jika telefon lain, harus sahaja saya cabut baterinya segera untuk dikeringkan. Tetapi bagi Iphone yang baterinya berada di dalam, tambahan pula dengan wayar charger yang masih terlekat padanya, Iphone saya sudah Qaalu Innaa Lillaah wa Innaa Ilayhi Raaji’oon!

Semasa menoleh ke belakang, Naurah memerhatikan saya sambil tangannya masih memegang botol air mineral yang sudah kosong. Imad pula menunding-nunding jari ke arah kakaknya.

“Kakak buat, kakak buat!” kata Imad.

Saya menelan air liur.

Antara marah yang bersangatan dan sayang kepada anak yang tidak bersyarat, saya hanya mampu melepaskan satu keluhan yang sangat dalam untuk membuang segala tekanan.

Marahlah anak.

Tetapi jangan sampai melabelnya.

“Bodoh! Degil! Kamu memang macam itu!”

Semua label, adalah kesimpulan kita tentang seorang anak. Apabila kita membuat kesimpulan, bererti kita telah memuktamadkan siapa anak kita. Kesimpulan itu menjadi doa. Hodohnya bahasa seorang bapa atau ibu jika yang didoakannya adalah kebodohan, kedegilan dan kenakalan si anak.

Saya mengurut dada, merenung tajam Naurah dan Imad dan mengekang lidah daripada menyebut apa-apa. Ketakutan mereka melihat renungan tajam saya, sudah memadai untuk hari itu.

BUKAN UNTUK BERGAYA

Saya membeli Iphone, sama seperti tujuan saya membeli telefon-telefon yang lain sebelumnya. Ia bukan untuk bergaya, tetapi saya yang sudah menggunakan PDA semenjak Palm V di tahun 1998 lagi, menggunakan seluruh fungsi yang ada di dalam telefon tersebut. Email, kalendar, Quran Search, Text and Bookmarking, Jadual Solat Satelit, Currency Converter, E-book, nota ceramah, kamera, Ipod, Safari Browser untuk internet, RSS Feed dan hampir 80% fungsi yang ada, kesemuanya saya gunakan dengan penuh optimum.

Kehilangan Iphone menyebabkan saya seperti kebakaran pejabat!

Terkenang kembali kerja keras hingga hilang separuh nyawa untuk membelinya, RM2000 hilang sekelip mata.



“Hari ini kalian Abi maafkan. Tetapi 10 tahun daripada sekarang Abi akan ceritakan kembali. Bukan untuk membalas dendam atau mengungkit-ungkit, tetapi sekadar mahu mengingatkan kamu sebagai remaja di hari itu, ada banyak kisah CINTA TANPA SYARAT seorang bapa dan ibu yang mungkin kamu telah lupa. Jangan mudah meremehkan ibu bapamu. Kalian mungkin lebih bijak dari ibu dan bapa. Tetapi mustahil kalian sebagai anak mampu bertanding dengan kasih sayang seorang ibu dan bapa” saya mengomel sendirian.

TRAGIS

“Ustaz, saya nak menjemput ustaz ke sekolah isteri saya di Putra Jaya pada 5hb akan datang. Ustaz berkelapangan?” tanya seorang ustaz semasa saya minum ringan selepas berceramah di Bangi.

“Sekejap ya. Bagi saya periksa jadual terlebih dahulu!” saya menjawab.

Tangan meraba-raba poket.

“Eh…” saya kebingungan.

Thahurun Insya Allah…

Wahai anak, kamu mungkin lebih bijak daripada kami, tetapi kamu tidak mungkin dapat mengatasi kasih seorang ibu dan bapa. Kamu hanya mampu mengasihi kami selepas kamu bijak, tetapi kami mengasihi kamu sebelum kamu lahir!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG



Nota: Demi Allah. Saya merindui ibu,ibu,ibu...dan ayah. Acap kali saya sering terlupa tanggungjawab saya pada mereka dan cinta mereka buat saya yang tanpa syarat itu. Allah Allah...