August 13, 2009

Ambang Ramadhan.

Terus terang.

Dua minggu sudah. Saya sedikit berasa tertekan. Segala yang dirancang,sedikit lewat ditunaikan. Begitu juga dengan tanggungjawab, amanah lebih tepat. Bangun tidur, hati rasa tidak sedap. Semacam ada dosa besar yang telah saya lakukan. Saat itu, saya muhasabah diri. Selang beberapa hari, saya teringat akan ibu.

Ibu,ibu dan ibu.

Saya tidak pasti sama ada saya ada buat hati ibu terguris atau tidak. Maaf, kadang-kadang saya berdarah muda...berjiwa muda juga. Demi Allah, kadang-kadang saya terlupa yang saya sedang bersama dengan ibu yang melahirkan serta membesarkan saya.

Asar. Saya ambil ibu, pulang dari kantor. Macam biasa, ibu yang banyak bercerita, saya lebih mendengar. Bawa kereta dengan perlahan, saya berterus terang pada ibu setelah ibu yang senyap seketika.

"Ibu, akhir-akhir ni ibu ada terasa dengan kakak tak?"

Berubah air muka ibu, "Tak de pun kakak. Kalau ada pun ibu dah maafkan."

"Maafkan kakak ibu, kalau kakak ada buat silap, buat ibu sakit hati atau apa pun. Akhir-akhir ni kakak rasa macam ada yang tak kena, hati tak tenang."

Balas ibu, "Okey je semua kakak. Buat apa nak berahsia dengan ibu. Ibu pun dah tak lama lagi."

Sekali lagi, saya bermohon maaf pada ibu.

Saya, orangnya kuat berahsia. Lebih selesa bercerita pada teman-teman atau menulis, luahkan apa yang terpendam. Bertambah selesa lagi ketika bercerita pada DIA.

Ibu, maafkan kakak. Teman-teman, du'akan agar saya selalu berbakti pada ibu bapa hingga ke akhir usia.


Pergi.

Macam tidak percaya saya, ketika menerima es-em-es daripada guru ngaji saya bahawa...Ustaz Asri-Rabbani, telah menghadap Illahi pagi tadi.

Du'a saya, agar beliau ditempatkan dikalangan orang-orang yang berjaya. Ameen.

Dua malam sudah, bersembang bersama sis dya, kemudian saya secara tidak sedar bertanya...

"Agak-agak sis, jika ada antara kita yang 'pergi' dulu. Macam mana ya? Siapa yang nak bagi tahu yang kita'dah pergi'?"

Dia diam. Saya bertambah diam lagi. Lama saya menanti jawapannya. Saya tinggalkan soalan itu dengan persoalan.

Pernah saya terfikir, bagaimana keadaan semua kegunaan saya di internet bila saya sudah tiada nanti...yahoo messenger, email, friendster, facebook, twitter dan juga blog ini? Tergelak saya bila membaca entri yang mencadangkan penggunaan widget untuk pemberitahuan yang kita telah tiada. :)

Saya tinggalkan juga...entri-entri yang bermanfaat mudah-mudahan, daripada empunya blog. Entri satu dan entri dua.

Dah lama saya baca, dan teringin juga untuk menulis tentangnya tetapi hari ini, baru ia terlaksana.

Tentang blog, saya suka membaca cerita orang. Tetapi tak faham, kenapa cerita yang karut-marut pun depa nak cerita(blog saya pun sama barangkali.)
Cuma,saya teringat pada Salsabila Fahim yang asyik bercerita tentang dirinya. Apa katanya...
"Kisah ini mungkin kisah saya. Kisah penuh peribadi. Boleh jadi tidak akan ada seiapa yang mengerti. Juga tidak akan ada sesiapa peduli. Masing-masing dalam hidup punya cerita, mengapa mahu membaca cerita orang lain? Tak mengapa, saya cuma akan bercerita kepada yang mahu tahu. Barangkali ada pengajaran, barangkali terdapat sesuatu."

Setuju? Atau sekarang, lebih mengerti?


Ambang ramadhan.

Seminggu lagi kita akan menyambut bulan khas untuk kita, Ramadhan al-Mubarak. Tiada apa yang mahu saya coretkan. Cuma, salam menghidupkan ramadhan yang saya hulurkan.

Ya Allah, jadikan kami meneladani kebaikan-kebaikan pendahulu kami...

August 07, 2009

Hidup.



Kita perlu menyusun plan kehidupan kita, jika tidak, orang lain akan menyusun plan kita.
-Unknown

Waktu senggang.

Terkejut saya ketika mebaca komentar seorang pembaca ni. Mengenai FT. Bukan Faizal Tahir tetapi Faisal Tehrani.

Baru-baru ni (semasa ambik Hadiah Sastera Islam XII) saya jumpa Fadh Radzy. Alhamdulillah,
taklah sombong macam Faisal tu, memang tak mau
tegur langsung. Adakah jurang antara penulis TUA
dengan penulis Muda? (Tak patut).


Tulisan FT. Amat saya minati. Tetapi, bila dah besar sedikit, baru saya faham dan kenali ramai orang yang tidak membaca atau gemari tulisannya.I'ya saya setuju, selera masing-masing. Saya terima itu.

Bacaan zaman kanak-kanak saya ialah buku siri penyiasat. Siri tiga penyiasat amat saya gilai. Siri-siri lain juga begitu, masih saya simpan dalam koleksi.

Masuk sekolah menengah. Baru saya berjinak-jinak dengan dunia sastera. Banyak masa melepak di perpusatakaan sekolah (saya bukan seorang ulat buku), membuatkan saya terjerumus dalam bacaan sastera. Cerita sastera pertama yang saya baca ialah Pei pan. Bulat mata seorang teman ketika melihat saya berkepit dengan Pei pan. Kerna pada masa itu, teman-teman sekolah, sedang hangat dengan novel-novel cinta.

Jujurnya, saya pun ada membacanya. Meminjam daripada mereka (nak beli, rasa satu pembaziran yang maha besar). Saya tidak ingat novel apa yang saya mula baca. Ombak rindu , Pergilah sepi, Jendela hati, dan Setia menanti antara novel yang sempat saya baca.

Jika di tanya novel-novel itu berkenan apa, siapa wataknya, bagaimana jalan ceritanya. Sungguh, saya sudah lupa. Tetapi saya menghormati mereka yang memiliki koleksi novel jenis ini.

Tingkatan empat. Saya ke pesta muda-mudi (baca: pesta buku) bersama kakak sepupu. Mengajaknya untuk melihat novel-novel yang digilai oleh teman sekolah. Dia menuruti kehendak saya. Pulang. Dia bertanya, "Kenapa baca cerita macam tu? Tak buang masa ke?". Saya diam.

Dia memberi saya 1515 sebagai ganti. Tulisan FT pertama yang mula saya hadam. Kemudian, mulalah saya jatuh hati dengan tulisan-tulisannya.

Bermula dari situ, makin dekat diri saya dengan dunia sastera. Juga, tidak rasa membazir untuk melaburkan pitis agar bermanfaat untuk waktu senggang saya.


Nota 1: Merayakan waktu senggang.

Nota 2: Rawa, sudah berada dalam tangan. Belum sempat menikmatinya.

Nota 3: Sangat bersyukur dengan apa yang diberiNYA.