May 19, 2008

Ibu.



Situasi 1.

“Pagi kakak. Apa cerita hari ini?”

“Ibu, susah juga nak cari duit ni ek.”

“Haa, tahu pun susah. Kerja baik-baik. Jujur selalu. Anggaplah kakak jual produk-produk chef tu produk-produk kakak sendiri. Mestila nak kena sunguh-sungguh dalam jual beli ni.”

Situasi 2.

“Assalamualaikum. Ibu apa khabar?

“Baik-baik selalu.Kakak?”

“Okay juga ibu. Ibu, kakak ada masalah ni. Hari ini, chef suruh jual kek 15 biji dalam masa 1 jam. Gila la. Camne ni ibu?”

“Tenang-tenang kakak. Jual kek-kek tu macam biasa. Banyakkan selawat. Doa dalam hati agar Allah swt bukakan pintu hati orang ramai untuk beli kek-kek tu.”

“Ibu, doa buat kakak ye.”

“Insya allah. Semoga berjaya kakak.”

Situasi 3.

“Ibu, kakak sakit perut ni bu. Sakit sangat Rasa macam nak balik rumah. Tak yah kerja la petang ni bu.Ibu rasa camne? Dah tak mampu nak berdiri lagi ibu.”

“Ya Allah, kakak. Takkan ini pun nak telefon ibu. Mana boleh balik rumah. Sekarang tengah kerja bukan sekolah lagi. Pergi makan penadol. Banyakkan selawat. Insya allah nanti baik tu.Ingat, kakak sedang berkerja sekarang. Suasana berkerja dengan sekolah lain.”


Itulah antara bualan telefon antara saya dengan bonda tercinta,ibu. Cuti semester akhir kali ini, saya mengambil keputusan untuk bekerja. Kerja saya adalah sebagai penjual kek. Memandangkan saya jenis orang yang mudah menggelabah dan kadang-kala sukar untuk berfikiran waras, apabila timbulnya masalah, pasti saya ingat Allah swt dan ibu sahaja. Mereka yang dapat bantu saya. Dapat menangkan jiwa saya. Nasihat mereka amat saya perlukan ketika saya senang dan susah.

Manjakah saya? Saya rasa bukan. Cuma, untuk meminta pandangan orang yang lebih lama hidup dan saya sendiri perlukan suntikan motivasi untuk bangunkan diri.Tidak dapat saya bayangkan jika ibu saya pergi, tinggalkan saya. Mungkin satu hari nanti saya perlu belajar hidup tanpa ibu. Ya, akan tiba saat itu juga. Sama ada saya, ataupun ibu yang pergi dahulu. Jika ibu yang pergi dahulu, saya bimbang, siapa yang akan nasihatkan saya, siapa yang akan tegur khilaf saya dan siapa yang boleh menerima saya seadannya. Sememangnya saya amat bersyukur dengan nikmat daripada Allah swt, kasih-sayang ibu yang tidak terhingga.

Apabila berbicara mengenai ibu, saya teringat akan kekasih Allah swt iaitu Rasulullah SAW. Bondanya, Siti Aminah telah ‘pergi’ meninggalkan baginda ketika baginda masih kecil lagi. Baginda hidup tanpa kasih sayang ibu dan ayah kandungnya. Tetapi sahabat-sahabat, dapatkan kita bayangkan sekiranya Siti Aminah, bonda Rasulullah saw hidup sehingga akhir hayat baginda. Bondanya sentiasa bersama baginda ketika susah dan senang serta ketika baginda berdakwah.
Semestinya baginda akan menjaga hati bondanya dengan sebaik mungkin. Sebaik-baik mungkin sahabat-sahabat.

Dapatkah kita semua dan teutamanya saya untuk menghidupkan sunnah baginda dalam menjaga hati ibu sebaik baginda? Ya Allah, sungguh saya tidak mampu. Sunnah baginda yang ada sekarang ini pun saya tidak mampu untuk hidupkan. Cukuplah, hadis-hadis serta firman-firman Allah swt yang terdapat dalam al-Quran sebagai peringatan dan panduan buat anak-anak persis saya ini. Mungkin ada hikmah yang besar Siti Aminah ‘pergi’ ketika Rasulullah saw masih kecil. Hikmah yang mungkin kita, terlepas pandang. Hikmah yang tidak terfikir oleh kita.

Dalam diam, saya bersyukur Siti Aminah ‘pergi’ dahulu. Kejamkah saya terhadap Rasulullah saw?Bukan kejam…tetapi saya semakin bersyukur dengan apa yang Allah swt aturkan.Bersyukur sangat-sangat. Perancangan Dia amat baik untuk makhluknya lebih-lebih lagi pada akhir zaman ini.

Walauapapun, saya berani katakan cinta saya buat ibu dan ayah saya tidak sehebat cinta mereka pada saya. Kasih mereka buat saya juga tidak mampu saya tandingi. Sering saya bermuhasabah diri untuk menjadi anak yang solehah. Saya tahu ia bukannya mudah tetapi ia bukanlah satu yang mustahil. Setiap kali selesai solat, doa untuk menjadi anak yang solehah sering saya panjatkan. Mungkin terlalu banyak khilaf saya hingga Allah swt lambat mengkabulkan doa saya. Itu, satu yang pasti.



Saya tetap bersyukur apabila dapat membesar di bawah jagaan ibu dan ayah hingga saat ini. Kasih-sayang mereka tidak dapat saya balas. Saya akan berusaha untuk menggembirakan mereka di dunia dan akhirat. Itu janji saya.

Cerita-cerita berunsur nasihat seperti Si Tanggang dan Hingga Hujung Nyawa amat memberi impak yang besar pada saya ketika ini. Jiwa saya juga semakin peka terhadap perasaan ibu dan ayah. Doakan…agar saya menjadi anak yang solehah.

"Dua kejahatan yang disegerakan balasan di dunia ialah zina dan menderhaka kepada dua ibu bapa."

(Hadis riwayat Tirmizi)

"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya mengandungkan dengan menanggung kelemahan demi kelemahan, dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun. "Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibu bapamu, kepada Ku jua tempatmu kembali."
(Surah Luqman: 41)

"Apabila meninggal seseorang itu, maka terputuslah segala amalannya, melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah yang berterusan yang memberi manfaat, ilmu yang memberi kebaikan diajarkan kepada orang lain dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kebaikan kepada kedua ibu bapanya."
(Hadis riwayat Muslim)

Buat diri: Semoga menjadi anak yang solehah. Semoga kelak, menjadi isteri yang mithali.

Andai Bisa Ku Kirimkan Air Mata

May 08, 2008

Busana.


“Hai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mu’min semua hendaklah mereka melabuhkan jilbab-jilbab mereka atas (muka-muka) mereka. Yang demikian itu lebih memastikan mereka agar dikenali (sebagai wanita Islam) supaya mereka tidak diganggu.”
(al-Ahzab: 59)

Tentang busana. Lantas, terus teringat akan karya Faisal Tehrani tentang Manikam Kalbu. Sebelum ini, saya ada menonton rancangan Nona di TV3. Mereka membuat liputan tentang minggu fesyen Islam yang telah berlangsung di Dubai. Apabila mata sedang meliar melihat keindahan fabrik yang dihasilkan oleh pereka fesyen, jiwa muda saya mula mendidih. Bukan itu sahaja, sebagai seorang Islam, saya juga berasa sedikit bingung dengan penerapan Islam dalam fesyen. Bukan apa sahabat-sahabat, sejak kecil kita telah di dedahkan ciri-ciri menutup aurat dengan sempurna. Islam juga menetapkan garis panduan tentang aurat lelaki dan perempuan. Masing-masing ada had yang tersendiri yang perlu dijaga.

"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."
(al-Taubah 9:71)

Malangnya, dengan ratusan pereka busana di seantero dunia ini, tidak adakah pereka fesyen yang mencipta busana yang benar-benar berlandaskan Islam? Jika kita lihat di Astro Prima dan Astro Oasis memang tidak terbilang dengan jari rancangan mereka yang memaparkan ‘fesyen-fesyen berlandaskan Islam’ sama ada dari negara kita, Malaysia mahupun negara jiran, Indonesia. Bagi saya yang masih hijau untuk mengembara di muka bumi ini, mereka tidak sedikit pun berlandaskan Islam sebenarnya.

“Hendaknya mereka itu melabuhkan tudungnya sampai ke dadanya, dan jangan kamu mendedahkan aurat dan perhiasan kamu kecuali apa yang terzahir.”
(an-Nur: 31)

Sekiranya bahagian dada terdedah, adakah itu dinamakan menutup aurat dengan sempurna? Jika memakai ‘sarung kepala’ dan memperlihatkan bentuk leher yang indah adakah dikira mengikut syariat?

Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang jahiliah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu - Wahai ‘AhlulBait’dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (daripada segala perkara yang keji).
(al-Ahzab: 33)

Benar-benar buat saya bingung dan sedikit bimbang mengenai busana buat manusia pada zaman akan datang. Seterusnya, kita lihat pula majalah Dara.com.Pada zaman sekolah dahulu, majalah ini merupakan santapan mata saya. Hampir setiap bulan saya membacanya. Memang saya berpuas hati dengan isi kandungannya cuma, bahagian fesyennya membuatkan otak saya ligat berfikir tentang Islam dan fesyen. Saya bermuhasabah diri apabila melihat model yang memperagakan fesyen yang konon-kononya buat ‘remaja muslimah’. Mungkin, suara saya yang kecil ini mungkin akan dipandang enteng oleh masyarakat di luar sana.

Maka, saya ambil keputusan untuk belajar jahitan dan fesyen. Mungkin tidak secara serius, tetapi buat diri serta orang-orang terdekat itu sudah memadai buat saya. Sekurang-kurangnya saya membantu orang-orang di sekeliling saya memelihara aurat mereka. Berbunga hati saya apabila dikelilingi oleh orang-orang yang berpengalaman dalam bidang jahitan serta fesyen. Mak Cik Kamariah, Mak Cik Yah, Mak Cik Liza serta Cik Kiah merupaka insiprasi saya. Jahitan yang kemas membuat hati saya tertarik. Bersyukur saya apabila dikurniakan oleh Allah swt orang-orang yang menghidupkan syi'ar-syi'ar Islam di akhir zaman ini.

Entahlah. Siapa saya untuk menegur orang-orang di luar sana.

Sabda Rasulullah saw:
“ Barang siapa yang melihat sesuatau kemungkaran dilakukan di hadapanya maka hendaklah dia mencegahnya dengan tangannya, jika dia tidak berkuasa maka hendaklah dia mencegah dengan lidahnya, dan jika dia tidak dapat berbuat demikian juga maka hendaklah dia membencinya di dalam hatinya dan ini adalah selemah-lemah iman.”
(HR: Musim, Tirmizi, Ibnu Majah, Nasai)

Cuma, apa yang berada disekeliling saya sering saya jadikan iktibar. Saya jadikan pedoman. Benar-benar buat diri yang masih hijau ini.

Buat diri: Dan sebaik-baik pakaian adalah taqwa.

Auratmu bukan mainan, wahai muslimah