April 27, 2008

Ia buat saya...


Kepada adik-adik remaja, khususnya mereka yang di bangku menara gading, jauhilah maksiat bercouple atau apa sahaja perlakuan mungkar kerana semuanya itu saling membuktikan kepada Allah bahawa kalian berdua amat berani mendurhakai Allah. Rumah tangga dibina bukan hanya atas cinta, tetapi juga pada saling mempercayai. Jika Allah sudah diingkari, siapa lagikah yang boleh dijadikan tempat meletakkan kepercayaan? Dosa semalam akan pasti menjadi kecurigaan hari ini, esok dan selamanya…
Sungguh, nasihat Ustaz Harizal ini benar-benar buat saya bermuhasabah diri.

Perihal Luqman al-Hakim dan anaknya.

Anaknya: “Wahai ayahku, apabila manusia ingin menjadi baik, apakah perkara utama yang perlu di milikinya?’
Luqman menjawab: “Agama.”

Anaknya bertanya lagi: “Jika dua perkara?”
Luqman menjawab: “Agama dan harta.”

Anaknya bertanya lagi: “Jika tiga perkara?”

Luqman menjawab: “Agama, harta dan malu.”

Anaknya bertanya lagi: “Jika empat perkara?”
Luqman menjawab: “Agama, harta, malu dan akhlak mulia.”

Kemudian anaknya bertanya lagi: “Jika lima perkara?”
Luqman menjawab: “Agama, harta, malu, akhlak mulia dan pemurah.”

Dan soalan terakhir anaknya: “Bagaimana pula jika enam perkara?”
Luqman al-Hakim menjawab: “Wahai anakku, apabila kelima-lima perkara ini (agama, harta, malu, akhlak mulia dan pemurah) berhimpun dalam diri seseorang itu, maka orang itu adalah insan yang bersih lagi bertaqwa. Allah swt akan memeliharanya dan ia akan terselamat daripada hasutan dan godaan syaitan.”

Semoga tabah dalam menagih cinta Yang Esa, wahai orang muda~

Buat diri: Jangan terlalu berasa terikat dan memiliki.

Cinta Ilahi Bukan Lakaran Puisi

April 24, 2008

Cerita saya.


Sudah lama saya tidak menziarahi guru yang saya hormati, yang mengajar saya mengaji, Ustazah Asni. Hampir enam bulan lamanya kami tidak dapat mata bertemu mata serta bergelak ketawa. Hanya sistem pesanan ringkas, SMS menjadi penghubung. Saya sering bertanya khabar dan minta dinasihatkan serta mohon didoakan anak muridnya yang kadang-kadang terlalu alpa dengan nikmat dunia ini. Dan paling saya rindui ialah suara ustazah saya apabila mengalunkan ayat suci al-Quran, boleh buat saya ‘cair’.

Dengan izinNya, saya dapat bertemu dengannya semalam. Setelah bercerita mengenai perkembangan diri masing-masing dan bertanya khabar, saya mula meluahkan persaan. Ya, Ustazah Asni merupkan orang ketiga tempat saya mengadu selepas Allah swt dan ibu saya.

Saya: Ustazah. Saya, sejak akhir-akhir ni dah jarang berqiamulail. Entah kenapa. Doa dan sering saya panjatkan.

Dalam keadaan tersenyum.

Ustazah: Saya pun jarang buat, anak muridku.

Saya: Ustazah tak pe. Ada tanggungjawab. Jaga anak, kemas rumah. Ni saya. Muda lagi, kesihatan masih baik. Tanggungjawab tak sebesar ustazah. Masa lapang pun banyak. Tapi liat sangat untuk bertahjjud. Serba salah saya ustazah. Malu dengan Allah pun ada.

Ustazah: Iman dah turun tu. Naikkan iman balik. Selalu berqiam.

Saya: Terima kasih banyak atas nasihatnya, ustazah.

Sebenarnya, berbunga hati saya apabila diberi nasihat. Maklumlah saya ni jarang-jarang dinasihatkan serta ditarbiahkan. Memang saya mengetahui iman agak lemah dewasa ini. Biasanya,bila sudah ditegur orang, barulah semangat saya kembali pulih untuk memperbaiki iman. Sebab itu saya kurang malu apabila meminta nasihat daripada orang-orang yang saya sayangi.

Sambung ustazah lagi...

Ustazah: Senang, kamu kahwin.Masak untuk suami, basuh baju suami, jaga anak, dapat pahala.

Saya: <>

Ustazah suruh saya kahwin? Dah tiba masanya ke? Entahlah saya pun tidak pasti. Dah bersediakah saya untuk mendirikan masjid? Saya pun tidak mengetahuinya. Semua dalam rahsia Allah, tiada siapa yang tahu. Mampukah saya untuk tidak bercinta sehinga akad? Saya pun tidak pasti. Banyak yang saya tidak pasti bila bab jodoh atau mendirkan masjid ni. Biarlah, kerja Tuhan, siapa tahu?

Buat diri: Insaflah. Bangunlah berqiamulail, sentiasa bertahjjud, selalulah bersama Quran sebelum DIA menarik segala nikmat yang diberikan.

April 15, 2008

Masyitah


Masyitah, ada soalan?

Ya, Masyitah.Boleh saya bantu?

Apa khabar,Masyitah?

Kamu faham apa yang saya terangkan tadi, Masyitah?

Masyitah,Masyitah dan Masyitah.

Sebenarnya itulah nama yang dipanggil oleh pensyarah saya sejak semester dua hinggalah ke hari ini kepada saya. Sedangkan, saya bukanlah Masyitah! Mashitah merupakan nama sahabat saya sebenarnya.

Biasanya semasa kuliyah, pensyarah saya akan menyebut nama Masyitah lalu anak matanya terus jatuh ke arah saya. Situasi ini membuatkan hati saya sedikit sakit dan gementar sebenarnya.

Masyitah. Satu nama yang indah dan hebat. Bukan senang hendak membawa nama yang hebat ini. Umumnya, sahabat-sahabat tentu ingat akan keimanan Masyitah.

Sejarah telah memuntahkan segala fakta tentang Masyitah. Seorang penyisir rambut anak Firaun. Sejarah juga mecatatkan, sedang dia menyisir-nyisirkan rambut anak Firaun, sikat yang berada di tangannya telah terjatuh lalu Masyitah telah menyebut nama Allah swt.

Apabila anak Firaun mendengar nama Allah swt.lalu bertanya siapakah itu.
Masyitah menjawab, “Tuhanku dan tuhan bapamu ialah Allah." Mendengar kata-kata itu, anak Firaun menjadi marah. "Baik kamu bertaubat, kalau tidak aku akan beritahu bapaku." Masyitah bertegas dan mengatakan, "Pergilah kau beritahu bapamu. Aku tetap dengan pendirianku bahawa tuhan yang sebenarnya ialah Allah."

Masyitah telah diugut mati dibunuh oleh Firaun tetapi dengan iman yang kuat Masyitah tetap tidak berubah akan pendiriannya. Akhirnya, seluruh ahli keluarganya mati kerana telah dicampakan oleh Firaun ke dalam sebuah kawah minyak yang amat panas.

Dalam peristiwa Israk Mikraj pula, Nabi Muhammad saw sampai di satu tempat yang sangat harum baunya. Malaikat Jibril telah menerangkan bahawa tempat itu ialah tempat bersemadinya Masyitah dan keluarganya.

Hebat bukan dia?Benar sahabat-sahabat, agak berat bagi saya untuk memegang amanah nama, yakni Masyitah.

Entahlah. Mungkin pada pandangan mata pensyarah muda saya itu, saya seperti Masyitah. Akhlak, cara saya berpakaian dan pelbagai lagi tafsiran terhadap saya pada pandangan pensyarah itu persis Masyitah atau sebetulnya diri saya ini sesuai dengan namanya Masyitah.

Layakkah saya untuk memegang nama Masyitah?Sungguh, saya tidak mampu!
Terlalu hebat iman Masyitah jika hendak dibandingkan dengan diri saya yang banyak khilafnya.

Walaubagaimanapun dalam Islam, tetap menitik beratkan nama seseorang.

Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud:
"Sesungguhnya kamu akan diseru pada hari qiamat dengan nama-nama kamu, dan nama-nama bapa kamu, maka perindahkanlah nama-nama kamu itu."
(Riwayat Abu Daud)

Ada juga bijak pandai mengingatkan agar kita sentiasa berdoa agar akhlak dan peribadi kita seiring dengan apa yang dimaksudkan dengan nama kita.

Makna nama yang baik juga mampu menaikkan motivasi diri seseorang agar dia mampu untuk menjadi seperti apa yang dimaksudkan dengan namanya.

Seorang anak berhak memperoleh nama yang baik.
Seorang sahabat datang kepada Rasulullah saw dengan mengandeng anaknya, lalu dia bertanya :
"Ya, Rasulullah, apa hak anakku ini atasku ?”
Rasulullah menjawab,
“ Membaguskan namanya, memperbaiki adabnya (sopan santun) dan menempatkannya pada kedudukan (posisi) yang baik (fisik dan spiritual)."
(H.R. Aththusi).

Buat pensyarah saya, terima kasih kerana mendoakan yang baik-baik buat anak muridmu ini dan memanggil saya dengan nama yang cukup hebat imannya dalam ad-din yang indah ini. Semoga dirimu dirahmati Allah swt wahai guruku.

Inilah pertama kali dalam hidup saya, ada orang silap memanggil nama saya lalu menggantikannya dengan panggilan yang cukup sempurna, Masyitah. Akan tersemat rapi dalam kalbu saya tentang peristiwa Masyitah dan ‘Masyitah’.

Buat diri: Semoga menjadi seorang ‘yang pemurah dan berpengetahuan’.